Monday, May 18, 2009

Gejala rasuah: Motif Ketua Dewan Ulama dipersoal

Gejala rasuah: Motif Ketua Dewan Ulama dipersoal

KOTA BHARU 17 Mei -- Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas negeri, Senator Datuk Ahmad Rusli Iberahim mempersoalkan motif pendedahan Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi kononnya wujud gejala rasuah menjelang pemilihan dalam parti itu.

Katanya, adalah malang sekiranya ia sekadar bersandarkan 'cakap-cakap' sedangkan kenyataan yang dikeluarkan atas sifatnya sebagai Ketua Dewan Ulama hanya mencetuskan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan ahli.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan kenyataan itu sengaja dibuat dengan agenda tertentu bagi mempengaruhi proses pemilihan dalam kepimpinan parti dan cuba meletakkan kalangan tertentu sebagai sebagai sasaran tohmahan.

''Pandangan seorang pemimpin ulama menjadi rujukan dan dasar perjuangan parti keseluruhannya.

''Kita berharap pandangan yang dikemukakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas itu berasaskan bukti yang nyata," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa bahawa Mohamed diarah memberi penjelasan kepada Dewan Harian Pas Pusat berhubung ucapannya semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan Rabu lalu.

Dalam ucapannya, Mohamed menyentuh mengenai wujudnya gejala memberi 'hadiah' kepada perwakilan dan berharap gejala seumpama itu tidak diamalkan.

Bagaimanapun, Mohamed yang kemudiannya didesak oleh beberapa pihak bagi membuktikan perkara itu, tidak berhasrat untuk mendedahkan sesiapa kerana hanya gambaran umum berdasarkan apa yang diberitahu oleh rakan-rakan.

Menurut Ahmad Rusli, kenyataan seumpama itu hanya akan menjejaskan imej parti dan persepsi terhadap barisan kepimpinan sekarang dan yang akan dipilih kelak ketika parti berada pada tahap kukuh dan turut mendapat kepercayaan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

''Sebagai orang baru dalam Pas, saya melihat lontaran ini sengaja diwujudkan untuk menimbulkan kejutan politik dan mungkin ada agenda tertentu yang semata-mata ingin 'mengenakan' mana-mana pihak.

''Pandangan Ketua Dewan Ulama biarlah dapat menjernihkan suasana, bukannya menimbulkan kekeliruan dan keresahan yang berpanjangan dengan sengaja mengeluarkan kenyataan dan diperbesarkan," ujarnya.

Beliau juga menarik perhatian mengenai isu yang dicetuskan oleh Mohamed ketika tokoh itu memutuskan menarik diri daripada terus menerajui Dewan Ulama.

''Ia juga memberi gambaran seolah-olah beliau cuba 'mengetuk-ngetuk biar retak' sedangkan beliau sepatutnya memperbaiki keadaan jika wujud apa yang dikatakannya itu," ujar Ahmad Rusli.

No comments: