Monday, May 18, 2009

Abdul Hadi diperlukan terus terajui

Abdul Hadi diperlukan terus terajui

KOTA BHARU 17 Mei – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kemenangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden parti itu tanpa bertanding amat tepat.

Menurutnya, Abdul Hadi mempunyai pengalaman luas dan ilmu yang tinggi untuk terus membimbing parti dalam perjuangan menegakkan Islam di negara ini.

Sehubungan itu, Nik Aziz meminta ahli-ahli parti terus mempertahankan Abdul Hadi sebagai presiden selagi beliau sihat dan mampu melaksanakan tugas dengan baik.

“Beliau ada pengalaman luas bukan saja dalam negeri malah bersama-sama dengan pemimpin gerakan Islam di seluruh dunia, payah untuk cari orang seperti ini kecuali beliau sahaja.

“Selagi beliau sihat, kita akan terima beliau untuk terus memimpin Pas dan kalau ada salah sikit kita pakat-pakat tegur sama juga dengan saya, cuma kalau hendak tegur saya, kena ada fakta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Abdul Hadi sah mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding manakala lima nama dicalonkan untuk merebut jawatan timbalan presiden.

Abdul Hadi mengekalkan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2003 itu selepas menerima pencalonan daripada 136 Pas kawasan.

Keseluruhannya Pas mempunyai 176 kawasan namun hanya 137 kawasan selesai bermesyuarat sebelum tarikh akhir penyerahan senarai pencalonan pada 8 Mei lalu.

No comments: