Monday, May 18, 2009

Politik wang mungkin ada - Nik Aziz

Politik wang mungkin ada - Nik Aziz

KOTA BHARU 17 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan wujudnya 'politik wang' dalam parti itu menjelang pemilihan agung bulan depan.

Justeru, beliau meminta para perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas itu menolak calon yang mengamalkan perbuatan sedemikian bagi meraih sokongan.

Namun Nik Aziz mengingatkan, sebarang tuduhan mengenai gejala itu perlu dibuat berlandaskan fakta dan wajar tindakan diambil sekiranya gagal dibuktikan.

"Boleh jadi ada sungguh (politik wang). Kalau ada sungguh, saya berasa sangat dukacita. Kita hendak berjuang dalam Pas, sedangkan Pas hanya wadah untuk perjuangkan Islam.

"Macam saya sebut hari itu, bagi duit ambil, bagi gula kacau. Saya setuju benar orang beri ambil tetapi jangan undi orang macam ini. Jangan beri peluang orang begini wujud dalam Pas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi bahawa budaya memberi 'hadiah' mula menular ke dalam parti tersebut menjelang pemilihan parti tidak lama lagi.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta calon yang bertanding pada pemilihan akan datang supaya tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan syak.

"Dalam suasana begini, jangan kita beri macam-macam dekat orang sebab mereka akan tuduh kita. Orang tidak tuduh kita kalau kita ini bersih, jadi jangan buat benda yang boleh membuatkan orang tuduh kita.

"Perwakilan jangan terpedaya, jangan jadi hamba duit dan Alhamdulillah, Pas berjaya menyekat nafsu daripada terperangkap dengan duit," katanya.

Mengulas tindakan ke atas Mohamed sekiranya gagal mengemukakan bukti atas dakwaan tersebut, beliau berkata, ia memang perlu dilakukan bagi memastikan setiap pemimpin bercakap berlandaskan fakta.

"Saya setuju, kita hendak sebut depan orang ramai mesti kena ada fakta. Jangan mengada-ada sebut kalau tak ada fakta," katanya.

Mohamed telah diarah memberi penjelasan kepada Dewan Harian Pas Pusat dan sekiranya gagal mengemukakan bukti, beliau akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin






Tolak calon terbabit politik wang: Nik Aziz
Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my

Pemimpin Pas beri sogokan untuk dapat undi menjelang muktamar tahunan patut diberi pengajaran

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu perwakilan parti itu menolak mana-mana pemimpin yang memberi sogokan, termasuk wang kepada mereka, dalam usaha meraih sokongan pada Muktamar Tahunan Pas, bulan depan.

Beliau yang masih kesal kerana tindakannya bertanding melawan ulama Pas, Husin Rahimi, sebagai Ketua Dewan Ulama sekitar 1960-an berkata, mana-mana pemimpin Pas yang memberi sogokan untuk mendapatkan undi perlu diberi pengajaran dan mereka tidak layak diberi tempat dalam barisan kepemimpinan parti itu.

"Boleh jadi ada sungguh (politik sogokan dalam Pas). Kalau ada (gejala sogokan), saya sangat dukacita kerana Pas adalah wadah kita memperjuangkan Islam yang mengharamkan rasuah.

"Saya cukup setuju perwakilan tolak mana-mana pemimpin yang amalkan politik sogokan. Duitnya kita ambil, tetapi jangan undi orang macam ini, biar dia akhirnya merasa perit, bodoh dan tertipu. Jangan beri peluang kepada orang yang macam ini dalam kepemimpinan Pas, dia berjangkit dan membawa penyakit (daripada parti lawan).

"Selama ini, Pas berjaya menyelamatkan kalbu manusia (khusus pemimpinnya) daripada menerima rasuah meskipun ditawar wang berjuta. Mereka menolak sogokan bukan kerana takutkan polis atau pencegah rasuah tetapi kerana takwa kepada Allah," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, memberitahu demikian selepas menyerahkan tajaan kerajaan Kelantan berjumlah RM50,000 kepada sekumpulan pendaki negeri ini yang dijadualkan menakluk kemuncak tertinggi di dunia, Gunung Everest, dalam ekspedisi akhir bulan ini.

Nik Abdul Aziz menyuarakan gesaan itu ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud, yang mendakwa politik sogokan kebendaan kini mula menular dalam Pas ekoran proses pencalonan dan pemilihan yang berlangsung dalam parti.

Beliau mengingatkan perwakilan Pas ke muktamar pemilihan tidak terpedaya hingga menjadikan diri mereka abdi kepada duit atau hadiah yang ditawarkan oleh pihak tertentu.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz menyokong langkah Dewan Harian Pas memanggil Ketua Dewan Ulama terbabit memberi penjelasan terhadap dakwaan itu.

"Kalau dakwaan itu tidak benar, saya setuju beliau dikenakan tindakan kerana kalau nak sebut depan ramai (pendedahan umum) mesti ada fakta kerana tanpa fakta ia menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat," katanya.

"Malah jika mempunyai fakta sekali pun, lebih baik kita bersemuka pihak terbabit dan memberi nasihat. Tak usah disebarkan benda ini (dakwaan) kepada masyarakat kerana dalam Islam tidak digalakkan menyebarkan benda tidak baik," katanya.

Mengulas kemenangan tanpa bertanding Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjelang muktamar kali ini, Nik Abdul Aziz berkata, beliau bersyukur terhadap kejayaan Abdul Hadi yang terus diyakini perwakilan akar umbi walau pun ada desakan dan terjahan pihak tertentu supaya pucuk pimpinannya ditukar.

"Perwakilan Pas tahu keupayaan Tok Guru Haji Hadi, beliau sering membawa suara Islam dan Pas ke pentas dunia, sesuatu yang sukar dicari ganti. Justeru, selagi beliau sihat, kita akan terus terima kepemimpinannya. Kalau ada tersalah silap sikit, kita pakat-pakat tegur dan nasihat.

"Saya sendiri pun begitulah, saya sangat suka orang memberi teguran dengan syarat mempunyai fakta. Teguran tanpa fakta, sukar untuk saya terima," katanya yang mengakui dari awal lagi menolak daripada menerima sebarang pencalonan mencabar Abdul Hadi bagi jawatan Presiden Pas.

"Bagi diri saya, sampai kini masih rasa terkilan kerana melawan Husin. Saya terkilan hingga hari ini, kenapa melawan tok guru. Sebab itu saya serik dan perit untuk melawan sebarang jawatan dalam Pas, kalau dengan Umno, sampai bila-bila pun tak apa," katanya.

No comments: