Monday, May 18, 2009

Rohaizat calon BN di Penanti?

Rohaizat calon BN di Penanti?

KUALA LUMPUR 17 Mei - Seorang peguam, Rohaizat Othman disebut-sebut calon pilihan utama sekiranya mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) esok membuat keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, 31 Mei ini.

Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh itu menjadi pilihan kerana dianggap paling layak menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mansor Othman, 56, yang merupakan bekas Prof. Madya di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM).

Rohaizat, 38, adalah seorang profesional dan mempunyai asas pengetahuan agama kerana pernah menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sekolah Menengah Agama Al-Mashoor Pulau Pinang.

Selain itu, dua lagi nama yang dikatakan turut diserahkan untuk pertimbangan kepimpinan tertinggi BN ialah Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan timbalannya, Datuk Nasir Abdullah - kedua-duanya ahli perniagaan.

Abdul Jalil pernah bertanding di kawasan berkenaan tetapi kalah kepada calon PKR, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dengan majoriti 2,219 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran pengumuman Mohammad Fairus untuk meletak jawatan pada 16 April lalu, dengan alasan ingin melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei ini dan jika ada pertandingan, hari mengundi pada 31 Mei.

Kawasan pilihan raya itu mempunyai 15,384 pengundi terdiri daripada 72.68 peratus Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.39 peratus (India) dan 0.71 peratus (lain-lain bangsa).

Turut dijangka bertanding pada pilihan raya kecil itu ialah bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, sebagai calon Bebas.

Sementara itu di PULAU PINANG, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon BN yang akan bertanding di Penanti adalah merupakan anak tempatan di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang menjelaskan, calon berkenaan juga adalah pemimpin tempatan, seorang profesional, berusia muda dan boleh diterima oleh kalangan masyarakat tanpa mengira umur.

''Siapakah calon itu? Dia dekat di hati saya dan pastinya lebih muda usianya daripada saya," katanya pada sidang akhbar selepas menemui masyarakat Siam di Kampung Telok Wang, Penanti di sini hari ini.

No comments: