Monday, May 18, 2009

Penafian Husam tidak redakan isu pro-Anwar

Penafian Husam tidak redakan isu pro-Anwar

KUALA LUMPUR 17 Mei - Isu kewujudan pemimpin pro-Anwar dalam Pas tidak akan reda walaupun Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa menafikan beliau adalah salah seorang daripadanya.

Penganalisis politik berpendapat kewujudan kumpulan berkenaan bukannya satu rahsia dan ia amat disedari oleh ahli Pas sendiri.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, penafian itu lebih bersifat untuk menenangkan keadaan menjelang muktamar Pas awal bulan depan.

Katanya, pengakuan calon Timbalan Presiden Pas itu bahawa Anwar adalah kawannya turut mengesahkan kewujudan kelompok sedemikian.

"Ini satu usaha untuk tenangkan keadaan seketika, hakikatnya ahli Pas dan orang luar yang mengikuti isu itu secara dekat tahu mengenainya.

"Walaupun ada penafian daripada pihak tertentu, ia tidak akan meredakan pertikaian yang timbul berikutan penguasaan kelompok pro-Anwar dalam Pas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam satu sidang akhbar semalam, Husam menegaskan walaupun beliau bukan pro-Anwar namun tidak ada sebab untuknya memusuhi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Menurut Husam, beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi matlamat dan perjuangan yang sama iaitu menumbangkan UMNO dan atas persamaan itu maka beliau memilih untuk berkawan dengan Anwar.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kenyataan Husam itu lebih bersifat politik dalam usahanya memenangi jawatan Timbalan Presiden Pas.

Katanya, Husam sudah tentu tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana pihak di luar parti termasuklah Anwar kerana menyedari terdapat ramai ahli Pas yang tidak bersetuju dengan cara Ketua Pembangkang itu terutama di kalangan yang berpendidikan agama.

Katanya, pengaruh Anwar dalam Pas juga bukannya sesuatu yang mengejutkan kerana Penasihat PKR itu sememangnya diketahui mempunyai hubungan dengan pelbagai pihak sejak bergelar aktivis pelajar lagi.

"Dalam Pas terdapat banyak pihak, sewaktu saya membuat kajian di Kelantan dulu, ada orang Pas yang langsung tidak mahu mendengar nama Anwar, mereka ini berpendidikan sekolah pondok.

"Sekelompok lagi ialah golongan profesional, mereka ialah orang Anwar dan yang Husam ingin elakkan ialah kelompok pertama tadi," katanya.

No comments: