Friday, October 05, 2007

Pita Lingam : Anwar beri kata dua kepada BPR

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wanz
Fri | Oct 05, 07 | 7:02:32 pm MYT

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyoal Badan Pencegah Rasuah (BPR) sama ada akan menyiasat individu-individu yang dikaitkan dalam klip video VK Lingam termasuk Lingam, Vincent Tan dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

ImageGesaan berupa pertanyaan itu dibuat Anwar petang tadi semasa ditemui dua wakil BPR di rumahnya semasa siasatan dijalankan pegawai SPR Putrajaya ke atasnya berikutan pendedahan klip video Lingam.

Turut serta ialah peguamnya yang juga Bendahari Agung KeADILan, William Leong; Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan ahli baru KeADILan, Din Merican.

Mengulas lanjut beliau berkata, seharusnya BPR menyiasat individu-individu yang disebut dan terbabit dengan klip video itu memandangkan isunya kini ialah korupsi besar dalam sistem kehakiman negara.

"Soalan mereka hanya berkisarkan tentang kesahihan klip video itu sahaja,"katanya.

Siasat yang mendedahkan

Bagaimanapun hingga kini BPR hanya menyiasat individu-individu yang mendedahkan klip itu selain cuba mencari sumber mana yang menyimpan klip itu.

Sementara itu mengulas mengenai siasatan BPR petang tadi, Anwar berkata beliau telah memberi kerjasama yang sebaik mungkin kepada dua pegawai BPR yang bernama, Wan Abdul Rahman dan seorang lagi dikenali sebagai Ang.

Begitu pun ketika pegawai itu meminta beliau mendedahkan identiti pemberi maklumat beliau berkata, beliau boleh berbuat demikian dengan syarat BPR memberi jaminan keselamatan ke atas saksi (pemberi maklumat) itu.

ImageIni kerana katanya hingga kini pihak BPR hanya boleh menyimpan rahsia pemberi maklumat tetapi tidak boleh memberi jaminan ke atas keselamatan mereka.

"Saya sudah maklumkan kepada BPR bahawa sumber kami bersedia menerbitkan kenyataan umum meskipun beliau risaukan keselamatan peribadinya.Kami terus yakin bahawa kebenaran akan didedahkan, dan kami tidak akan sekali-kali bertolak ansur terhadap keselamatan sumber-sumber kami,"tegasnya.

Sebarang cubaan memenjarakan pihak yang mendedahkan salah laku hanya akan menambah lagi kemarahan orang ramai dan akan mengundang kritikan masyarakat antarabangsa untuk menyelia perkemabangan itu, katanya.

Anwar juga memberi komitmen akan mendedahkan baki enam minit lagi rakaman klip itu kepada BPR dan umum sekiranya saksi diberi jaminan keselamatan.

"Saya janji saya akan buat, saya bukan Barisan Nasional (BN) hanya pandai berjanji,"katanya.

Anwar juga kelihatan tegas dengan kenyataannya mempertahan klip video yang didedahkan dan mahu ianya disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Menurutnya, pegawai BPR tersebut memaklumkan kepadanya bahawa saksi-saksi akan dilindungi di bawah Seksyen 53 Akta Badan Pencegah Rasuah 1997 tetapi Anwar berkata, ianya tidak mencukupi.

Undang-undang tersebut, yang digubal sewaktu Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, membenarkan butiran diri sumber maklumat dirahsiakan, walaupun dalam perbicaraan mahkamah. >P> Bagaimanapun, Anwar berkata, ia belum dapat menjamin keselamatan diri sumber maklumat.

Malah, katanya, beliau telah memberi jaminan untuk menjaga keselamatan sumber maklumat terbabit.

Terdahulu pagi tadi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam keras kaedah siasatan dan ugutan yang dilakukan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap dua anggota Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dalam siasatan kes klip video VK Lingam semalam.

ImageSuaram menganggap ugutan yang dilakukan ke atas Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan Pegawai Khas Anwar Ibrahim, Sim The Tzin adalah bermotifkan politik dan intimidasi untuk mendiamkan isu koruspi kehakiman, kata Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng.

Katanya lagi, di samping itu tindakan BPR ini satu tindakan yang tidak boleh diterima, katanya.

Sumber kepada pita rakaman itu tidak seharusnya menjadi isu utama dalam menyiasat kes ini, dan dua saksi (Sivarasa dan Sim) perlu dilindungi sebagai saksi, katanya.

"Apa yang perlu BPR siasat dengan mandat yang ada. Sama ada soal kebenaran pita itu atau soal korupsi yang berlaku dalam kes ini,"kata Yap Swee Seng lagi.

"Dalam kes ini jelas kelihatan BPR bagaimana BPR dipergunakan sebagai alat politik," katanya.

ImageTindakan ke atas dua anggota KeADILan ini adalah sebagai mesej yang dibuat BPR ke atas awam supaya mendiamkan kes meskipun berlakunya korupsi, atau jika menghebahkan mereka akan berhadapan dengan tindakan penjara, katanya.

Hal ini sekali lagi memperlihatkan bahawa janji membanteras rasuah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak terlaksana, ujarnya.

Suaram menggesa BPR agar tidak lagi memberi tekanan kepada Sivarasa dan Sim dala kes ini, sebaliknya menyiasat korupsi yang mungkin berlaku, kata Yap.

Suaram juga menggesa agar Suruhanjaya DiRaja diadakan dalam menyiasat kes pita Lingam, katanya.

BPR didakwa mengugut dua anggota KeADILan yang terbabit dalam pendedahan klip video skandal perbualan antara seorang peguam yang disyaki, VK Lingam dan hakim kanan yang didakwa sebagai, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Ugutan itu didakwa dilakukan ke atas Naib Presiden KeADILan, ImageSivarasa Rasiah dan Penyelaras Politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Sim Tze Tzin semalam, kata satu laporan Suara KeADILan lewat petang semalam.

BPR dikatakan memberi notis bahawa jika sumber video skandal Ketua Hakim Negara tidak didedahkan, mereka boleh dipenjara selama dua tahun, kata laporan itu.

Namun begitu, Sivarasa telah mengumumkan kesanggupan beliau untuk menghadapi apa-apa hukuman demi mempertahankan identiti sumber tersebut, katanya.

Terdahulu, Naib Presiden KeADILan dan Pembantu Khas Anwar Ibrahim itu telah dipanggil oleh BPR semalam secara mengejut bagi memberi keterangan semula berhubung isu pita Lingam.

Kedua-dua mereka dikehendaki menghadiri pejabat BPR Wilayah Persekutuan pada jam 4.00 semalam selepas mendapat panggilan telefon 2 Oktober lalu.

Sebelum ini, Sivarasa telah dipanggil oleh BPR pada 27 September lalu untuk membantu siasatan. Manakala, Sim pula dipanggil oleh BPR pada Selasa lepas.

Mereka masing-masing telah dipanggil ke ibu pejabat BPR di Putrajaya pada tarikh tersebut. - mks.

No comments: