Friday, October 05, 2007

Pita Lingam : Ugutan BPR, Sivarasa sanggup berdepan tindakan!

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Oct 05, 07 | 7:43:46 am MYT

KUALA LUMPUR 5 Okt (Hrkh) - Badan Pencegah Rasuah (BPR) didakwa mengugut dua anggota Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang terbabit dalam pendedahan klip video skandal perbualan antara seorang peguam yang disyaki, VK Lingam dan hakim kanan yang didakwa sebagai, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Ugutan itu didakwa dilakukan ke atas Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan Penyelaras Politik Dato' Seri Anwar Ibrahim, Sim Tze Tzin semalam, kata satu laporan Suara KeADILan lewat petang semalam.

BPR dikatakan memberi notis bahawa jika sumber video skandal Ketua Hakim Negara tidak didedahkan, mereka boleh dipenjara selama dua tahun, kata laporan itu.

Namun begitu, Sivarasa telah mengumumkan kesanggupan beliau untuk menghadapi apa-apa hukuman demi mempertahankan identiti sumber tersebut, katanya.

Sivarasa berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan para pegawai serta penasihat undang-undang parti itu sebelum memutuskan langkah berikutnya.

"Jika kita terpaksa dikenakan hukuman demi untuk mlindungi sumber kita, biarlah," kata Sivarasa kepada pemberita selepas menerima notis tersebut daripada ibu pejabat BPR Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam.

Notis itu menyatakan bahawa kegagalan untuk berbuat demikian adalah melanggar Seksyen 29 (c) Akta Mencegah Rasuah 1997.

Di bawah Seksyen 58 akta yang sama, mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara.

Terdahulu, Naib Presiden KeADILan dan Pembantu Khas Anwar Ibrahim itu telah dipanggil oleh BPR semalam secara mengejut bagi memberi keterangan semula berhubung isu pita Lingam.

Kedua-dua mereka dikehendaki menghadiri pejabat BPR Wilayah Persekutuan pada jam 4.00 petang semalam selepas mendapat panggilan telefon 2 Oktober lalu.

Sebelum ini, Sivarasa telah dipanggil oleh BPR pada 27 September lalu untuk membantu siasatan. Manakala, Sim pula dipanggil oleh BPR pada Selasa lepas.

Mereka masing-masing telah dipanggil ke ibu pejabat BPR di Putrajaya pada tarikh tersebut.

Pendedahan Anwar

Pendedahan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai skandal kehakiman berhubung 'Pita Lingam' membibitkan satu lagi sejarah hitam dalam lapangan perundangan negara.

Monolog dalam klip video yang didakwa sebagai satu konspirasi sulit mencatur kedudukan organisasi kehakiman membuatkan sejarah kehancuran badan kehakiman tahun 1988 berulang kembali.

Ianya mungkin boleh mengesahkan dakwaan umum bahawa badan kehakiman dinegara ini dipaksikan kepada percaturan politik pihak berkepentingan yang akhirny hanya akan mengaut untuk dari percaturan itu.

Kononnya bagi menyelesaikan krisis akibat pendedahan klip video itu, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan satu Panel Bebas untuk menyiasat kesahihan klip video yang didedah Anwar.

Perkembangan itu amat mengecewakan banyak pihak termasuk parti politik dan Majlis Peguam Malaysia serta beberapa NGO lain yang mahu kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan bidang kuasa Majlis Raja-raja menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat intipati klip video itu dan bukan hanya mengesahkan kesahihan klip video sahaja.

Tidak harap panel bebas

Sementara bagi Presiden Parti keADILan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah menyatakan bahawa rakyat tidak boleh mengharapkan panel tersebut.

Ini kerana panel itu adalah dilantik oleh kabinet untuk menjalankan siasatan terhadap kesahihan video itu sahaja, kata Wan Azizah sebelum ini.

"Bagaimanakah video yang melibatkan ahli kabinet disiasat oleh sebuah panel yang dilantik dan bertanggungjawab kepada badan yang sama?,"kata Dr Wan Azizah.

Sebuah panel yang dilantik oleh kabinet sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membuat siasatan skandal dalam video tersebut, katanya.

Tubuh Suruhanjaya Diraja

"Hanya sebuah Suruhanjaya DiRaja yang dilantik oleh DYMM Yang Dipertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, dan melapor secara langsung kepada Yang Dipertuan Agong yang akan mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, memastikan kehadiran dan memberikan imuniti kepada para saksi agar siasatan yang menyeluruh dapat dijalankan,"kata Dr Wan Azizah.

Itulah satu-satunya caranya rakyat boleh mengharapkan siasatan ini dijalankan dengan berkesan, bebas dan telus, katan Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Rakyat tiada pilihan lain, memandangkan video ini membangkitkan isu-isu yang cukup serius dan mempunyai kesan yang teramat mendalam, katanya.

Sebuah Suruhanjaya DiRaja dilantik untuk menyiasat insiden 'ketuk-ketampi' (membabitkan warganegara Cina) yang telah menjejaskan imej polis sebelum ini.

Sudah tentu badan yang sama yang bertanggungjawab kepada Yang Dipertuan Agung mesti ditubuhkan untuk menyiasat secara menyeluruh skandal yang benar-benar menggemparkan institusi kehakiman negara ini, katanya.

"Sebuah panel yang dilantik oleh kabinet tanpa sebarang kuasa undang-undang sememangnya tidak mencukupi untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan video ini; sebuah Suruhanjaya DiRaja perlu ditubuhkan dengan serta-merta,"ujarnya lagi.

Transkrip dedahkan konspirasi

Dari transkrip rakaman perbualan antara peguam tersebut yang disyaki sebagai VK Lingham dengan individu yang didakwa sebagai Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz banyak mendedahkan percaturan yang dibuat peguam kontroversi itu.

Lingham dalam perbualan dengan Ahmad Fairuz menekankan soal mengangkat kedudukan Ahmad Fairuz bagi menggantikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tan Sri Dzaiddin (2002) yang mana Lingham bimbang dengan pengakuan Dzaiddin yang menyatakan ada hubungan kekeluargaan dengan seorang Sultan ketika itu dikatakan ingin terus memegang jawatannya hingga umum 68 tahun.

Kebimbangan itu menyebabkan Lingham telah menghubungi Tengku Adnan Tengku Mansor untuk memaklumkan mengenai pendirian Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai sebarang kemungkinan Ahmad Fairuz dilantik sebagi Ketua Hakim Negara.

"Tengku maklumkan yang PM (Mahathir) begitu marah padanya, PM kata, tidak ada masalah untuk lantik Datuk sebagai pemangku, err.. sahkan jawatan sebagai Presiden Makhamah Rayuan, dan bersungguh untuk pastikan Tan Sri Mokhtar sebagai Ketua Hakim Malaya,"kata Lingham dalam perbualan itu.

"Ah, kita pastikan ianya sulit. Saya sedang bekerja keras untuk tujuan itu,"kata peguam itu dalam klip video yang didedah Anwar.

No comments: