Fri | Oct 05, 07 | 1:21:38 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berharap perbicaraan dua pegawai polis yang dituduh mengaitkan Ketua Polis Negara dengan dengan tuduhan rasuah dilihat sebagai peluang untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman.
Cif Inspektor Nordin Ahmad, 42, yang kini bertugas di Cawangan Perjawatan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Lans Koperal Wong Boon Wai, 40, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat Rabu lalu atas 14 tuduhan memalsukan keterangan dan menggunakan dokumen palsu untuk mengaitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dengan tuduhan rasuah RM2 juta untuk membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat.
Mereka tidak mengaku bersalah atas semua tuduhan itu.
"Kita sangat prihatin dengan kes ini kerana sebelum ini Nordin telah membuat laporan di Balai Polis Kuantan pada 23 September lalu kerana isteri dan anak-anaknya ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).
"Tindakan BPR menahan serta menjadikan isteri dan anak-anak Nordin sebagai tebusan dan tukar ganti untuk memaksa kehadirannya ke ke pejabat BPR memberikan keterangan adalah satu tindakan yang boleh menyebabkan BPR dituduh sangat keterlaluan, keji dan tidak bertamadun dalam menjalankan tugasnya," katanya.
Mengambilkira latar belakang yang sedemikian serta kaitan kes itu dengan Ketua Polis Negara ditambah pula dengan isu "pita video Lingam" yang begitu mencemarkan imej institusi kehakiman di negara ini, Salahuddin berharap pihak yang berkenaan dapat menjadikan perbicaraan ke atas Nordin dan Wong sebagai peluang untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap institusi kehakiman di negara ini.
Beliau juga mengulangi tuntutan PAS supaya badan kehakiman mestilah menjadi badan yang menjamin keadilan untuk semua rakyat dan terpelihara kewibawaannya.
"Kita mahukan sesuatu yang konkrit, objektif dan boleh diyakini, bukannya jawapan berfalsafah tentang the power of the powerless," tegas beliau.
Dalam laporan polisnya itu, Nordin menyatakan bahawa pada 23 September lalu semasa dalam perjalanan balik ke rumahnya, beliau menerima panggilan telefon dari isterinya, Kalsom Mat Noh, yang memberitahu ada beberapa pegawai BPR di rumahnya dan akan membawa mereka ke pejabat BPR.
Pada hari yang sama, katanya, "seorang lelaki bernama Muniem yang memperkenalkan diri sebagai pegawai BPR telah menghubungi saya dan bertanya saya di mana saya berada dan bila saya akan sampai".
Nordin meminta mereka membebaskan isteri dan anak-anaknya "yang berada di dalam tahanan mereka".
"Lelaki tersebut memaksa saya datang dengan segera untuk isteri dan anak-anak saya dibebaskan," katanya.
Laporan polisnya dibuat kerana Nordin "tidak puas hati dengan tindakan BPR yang menahan isteri dan anak-anak saya tanpa sebarang kesalahan, tanpa sebab, menyekat pergerakan isteri dan anak-anak saya dari menghubungi saya".
Beliau "tidak berpuas hati dengan tindakan BPR yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan diri mereka, memaksa saya hadir ke pejabatnya dan menjadikan isteri dan anak-anak saya sebagai tebusan, sebagai tukar ganti kehadiran saya".
No comments:
Post a Comment