Fri | Oct 05, 07 | 8:57:22 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - 'Seluruh negara menunggu kita' begitulah ungkapan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohd Nor Azrae sebelum mengumumkan keputusan pilihan raya kampus UM petang semalam.
PRK 2007/2008 menyaksikan pro mahasiswa hanya memperolehi 9 kerusi, berbanding Aspirasi yang berjaya mengatasi mereka dengan 32 kerusi.
Namun, keputusan tersebut memperbaiki rekod yang telah dicapai dalam PRK lalu dengan pertambahan sebanyak empat kerusi.
Pro mahasiswa mendapat dua daripada sembilan kerusi umum, manakala mendapat kerusi percuma di Akademi Pengajian Islam, dan Fakulti Undang-undang.
Selain itu, di Fakulti Pergigian, Kejuruteraan dan Pusat Sukan, mereka hanya meperolehi satu kerusi di setiap fakulti tersebut.
UM merupakan antara kampus terakhir selain Universiti Malaysia Sabah yang mengumumkan keputusan PRK selepas pengundian semula diadakan ekoran terdapat pengundi hantu di Kolej Kediaman ke 12 pada 2 Oktober lalu.
Proses pembuangan undi berjalan semula pada 4 Oktober, semalam dari jam 9 pagi dan berakhir pada 3 petang.
Selepas menunaikan solat 'Asar, Dewan Tunku Canselor menjadi tumpuan mahasiswa serta kakitangan universiti yang terlibat termasuk jawatankuasa pemantau, penyiasat serta Naib Canselor yang turun melihat perkembangan perjalanan proses penjumlahan undi dijalankan.
Kira-kira 500 penyokong pro mahasiswa mengadakan perhimpunan sambil duduk bersila di perkarangan DTC sambil mengadakan sesi tazkirah dan berzikir.
Mereka kemudiannya masuk ke dalam DTC tersebut pada jam 6.30 petang bagi mendengar keputusan yang diumumkan, yang dimulai dengan nyanyian lagu universiti, 'Varsiti'.
DTC yang dipenuhi mahasiswa untuk sesi pengumuman gamat selepas diselangi sorakan kumpulan, apabila calon yang disokong mendapat kemenangan.
Ia berakhir pada jam 6.45 petang dengan perhimpunan aman kumpulan pro mahasiswa yang memberi taklimat dan kata-kata semangat kepada penyokong mereka yang telah bekerja keras atas hasil yang telah dicapai dalam PRK kali ini. - mks.
No comments:
Post a Comment