Friday, October 05, 2007

Jika pegawai cuai tindakan akan diambil, bagaimana jika pemimpin cuai?

Intan Abdullah
Fri | Oct 05, 07 | 4:31:44 pm MYT

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Walaupun perlu diambil tindakan berhubung kos terlebih mengeluarkan perbelanjaan terhadap pegawai yang bertanggungjawab, tetapi individu sebenar yang harus menanggung kesalahan ialah ketua atau pengurus sesuatu projek.

"Pegawai bawahan pula, tidak perlu dipotong gaji mereka lantaran mereka berpendapatan kecil jika dibandingkan dengan kerugian yang melibatkan projek bernilai jutaan ringgit. Cukuplah sekadar dikenakan tindakan tatatertib, atau dibekukan kenaikan pangkat mereka," ujar AJK PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi Harakahdaily.

Ini kerana ujarnya, dalam pengendalian projek besar sudah tentu pihak yang biasanya membuat urusan penetapan harga dengan pihak yang memohon tender ialah daripada kalangan ketua atau pengurus, bukan pegawai kecil.

Namun, perlaksanaan terhadap pemotongan gaji pegawai berkenaan bukanlah semudah yang disangkakan kerana ia memerlukan ketelusan dan pemantauan yang berkesan daripada pelaksana.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam satu kenyataannya berpendapat bahawa pegawai-pegawai kerajaan yang cuai menggunakan peruntukan yang diberikan perlu membayar denda dengan menggunakan duit mereka sendiri.

Hal ini terkandung dalam peruntukan di bawah Akta Prosedur Kewangan 1957, kata Pengerusi PAC yang menyokong Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang mencadangkan supaya tindakan hendaklah diambil ke atas pegawai Kementerian Belia dan Sukan yang terlibat membeli barangan untuk Institut Kemahiran Belia Negara (KKBN) tahun lalu pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Di bawah akta tersebut, denda tersebut hendaklah dilaksanakan ke atas pegawai kerajaan yang didapati bertanggungjawab membuat pembayaran yang tidak sepatutnya dengan menggunakan dana negara.

"Hal ini berlaku adalah disebabkan kegagalan pemantauan daripada pihak kementerian itu sendiri," ujar pengerusi PAC, Dato' Shahrir Samad.

Selepas bermesyuarat selama empat jam dengan pegawai kementerian berkenaan di bangunan Parlimen semalam beliau berkata, ia berlaku kerana kurang penyeliaan daripada pegawai yang bertanggungjawab.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato' Mohd Yasin Salleh mengetuai para pegawainya yang menemui PAC semalam.

Shahrir turut menggesa Kementerian Kewangan mencari jalan supaya pegawai yang bertanggungjawab terhadap pembelian tersebut, membayar balik lebihan perbelanjaannya.

Menurutnya, Kementerian Kewangan boleh melakukannya melalui potongan gaji pegawai terbabit sehingga dia selesai membayar balik jumlah tersebut.

Selain itu, beliau mahu Kementerian Belia dan Sukan mengemukakan senarai projek-projek yang membabitkan rundingan terus, kepada PAC. - mr

No comments: