Saturday, October 06, 2007

Gabungan komponen BN perlu kejujuran, komitmen

Oleh Abdul Razak Raaff

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berpendapat cadangan menggabungkan 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) menjadi satu parti memerlukan banyak kejujuran dan komitmen.

Beliau berkata, ia sukar dilaksanakan dalam jangka masa singkat tetapi percaya setiap parti dalam BN berusaha ke arah meningkatkan hubungan dan perpaduan antara kaum.

“Kami percaya hubungan antara parti dalam BN mantap, manakala perpaduan kaum semakin rapat walaupun kadang kala timbul beberapa isu sensitif, tetapi ia dapat diatasi selepas semua pihak berbincang menyelesaikannya.

“Kita memerlukan pemimpin BN yang bijaksana dan dapat memastikan hubungan antara kaum terus kukuh pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Nasional Wanita dan Pemuda Gerakan, di sini semalam.

Beliau mengulas cadangan Ketua Pemuda Gerakan, Mah Siew Keong supaya 14 parti komponen BN bergabung menjadi satu parti iaitu BN bagi memastikan agenda perpaduan nasional Malaysia tercapai sepenuhnya.

Mah berkata, selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, Pemuda Gerakan perlu mengambil langkah pertama menyatukan semua 14 parti dalam BN.

Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda BN, bagaimanapun tidak menyatakan sama ada cadangan itu praktikal dan dapat dilaksanakan pada masa depan, sebaliknya menjelaskan hubungan di antara pemimpin parti komponen baik bagi menyelesaikan sebarang masalah.

Beliau berkata, hubungan antara kaum pada peringkat akar umbi juga baik dengan mengambil contoh kes penerima jantung mekanikal, Tee Hui Yi, yang mendapat jantung baru daripada seorang remaja Melayu.

“Hubungan antara kaum di negara ini amat unik, istimewa dan sebenarnya banyak kes yang menunjukkan masyarakat pelbagai kaum hidup saling bantu membantu dan menghormati satu sama lain.

“Pihak media sepatutnya dapat memainkan fungsi dengan mengeluarkan lebih banyak berita menggambarkan perpaduan erat antara kaum, di negara ini," katanya.

No comments: