KANGAR 19 Okt. – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menegur sebahagian wakil rakyat di negeri ini yang ‘liat’ untuk melawat dan meninjau masalah yang dihadapi penduduk di kawasannya sebaliknya hanya pandai menuding jari terhadap pihak-pihak tertentu jika wujud sesuatu masalah.
Katanya, sikap demikian tidak harus ada pada seorang wakil rakyat yang sepatutnya sentiasa mengambil tahu dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di kawasannya.
“Ini tidak, dia hanya pandai salahkan orang lain bila ada masalah timbul sedangkan dia tidak pernah pun ambil tahu apa-apa masalah yang dihadapi penduduk di kawasannya.
“Di sini saya nak nasihatkan mereka ini terutama yang tinggal di luar kawasannya supaya selalu selalulah balik dan tinjau apa masalah yang dihadapi penduduk.
“Janganlah hanya duduk di Kuala Lumpur dan jarang sekali melawat kawasan sendiri dan bila balik ke sini (Perlis) hanya nak salahkan orang lain tidak buat itu dan ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa enam bersama pemimpin-pemimpin UMNO Perlis dan ketua-ketua jabatan kerajaan di Dewan Warisan di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada kira-kira 1,000 pelajar tingkatan enam atas dan matrikulasi di negeri ini.
Shahidan berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat apa sahaja masalah yang dihadapi penduduk dan wakil-wakil rakyat diberi tanggungjawab untuk menanganinya dengan baik.
“Kalau ada wakil rakyat yang bersikap seperti itu, dia tidak layak menjadi wakil rakyat. Pilihan raya umum semakin hampir maka semua pemimpin perlu sering berdamping bersama rakyat dan berusaha bersama-sama selesaikan apa sahaja masalah yang dihadapi,” katanya.
Menteri Besar turut menegur wakil rakyat yang tidak menghadiri mesyuarat tertentu kerajaan negeri termasuk mesyuarat pembangunan negeri.
“Kalau dia tidak hadir mesyuarat mengenai kepentingan rakyat, bagaimana dia mahu menyelesaikan masalah mengikut apa yang dirancang oleh kerajaan semasa mesyuarat itu?" katanya.
Mengenai masalah banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Arau baru-baru ini, Shahidan berkata beliau sudah melawat kawasan itu dan sudah mengarahkan pembinaan saluran tambahan bagi mengelak laluan air di parit-parit sekitar daripada tersekat.
“Memang ada pembinaan jalan raya di situ tetapi kita sudah mengambil langkah perlu untuk mengelak kejadian banjir kilat berlaku lagi. Kita akan memperbaikinya dari semasa ke semasa,” katanya.
Beberapa kawasan di Arau ditenggelami banjir kilat Ahad lalu akibat sistem perparitan yang dikatakan tidak dibuat dengan sempurna menyebabkan laluan air di parit tersekat.
No comments:
Post a Comment