Saturday, October 20, 2007

BPR: Klip video tidak boleh jadi bukti

Oleh: RUHAIDINI ABD KADIR

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Klip video yang didakwa memaparkan perbualan telefon seorang peguam dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim dalam negara yang kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak boleh dijadikan bahan bukti kes kerana ia telah disunting.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, BPR tidak boleh meneruskan siasatan kerana klip video yang ada pada agensi berkenaan tidak tulen.

“Kesahihan klip video itu yang kini merupakan satu-satu bukti utama kes tersebut dipersoalkan kerana telah ‘diganggu’.

“Selagi klip video asal iaitu yang tidak disunting tidak diperoleh, selagi itulah BPR tidak dapat teruskan siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Said meminta orang ramai yang memiliki klip video asal agar tampil membantu siasatan BPR.

“BPR perlukan klip video asal dan mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti agar membantu kami,” katanya.

Menjawab satu soalan, Ahmad Said berkata, jika klip video asal diperoleh, bahan bukti itu akan dihantar ke Hong Kong untuk dinilai kesahihannya.

Pada 27 September lalu kerajaan menubuhkan panel bebas khas diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar untuk menjalankan siasatan terhadap kesahihan klip video berkenaan.

Panel yang hanya diberi tempoh 30 hari bekerja, mulai tarikh pengeluaran surat pelantikan anggotanya 27 September lalu dijadualkan bermesyuarat pada 29 Oktober ini.

Bagaimanapun mesyuarat yang dijadualkan itu terpaksa ditangguhkan kerana laporan siasatan daripada BPR masih belum diperoleh.

No comments: