Tuesday, September 25, 2007

Agensi Kementerian Penerangan Turun Padang Tingkatkan Jumlah Pengundi

KUCHING, 24 Sept (Bernama) -- Kementerian Penerangan, termasuk Jabatan Penerangan, boleh membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik orang ramai mendaftar sebagai pengundi dengan turun padang memberi maklumat kepada rakyat, terutamanya penduduk di pendalaman Sarawak, sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran itu.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Takun Sunggah hari ini berkata sehingga kini orang ramai memberikan respons yang baik kepada kempen pendaftaran oleh SPR sekarang, yang dimulakan sejak Januari lepas, bagi meningkatkan jumlah pengundi yang keluar mengundi pada setiap pilihan raya.

"Agensi kementerian dapat menyelaraskan kempen mereka dengan Pejabat Daerah di seluruh negeri dalam membuat persediaan untuk pilihan raya parlimen akan datang," katanya kepada Bernama di sini.

Semalam, Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata Kementerian Penerangan, Bernama, RTM, Jabatan Hal Ehwal Khas dan Filem Negara akan digerakkan dalam usaha memberikan kesedaran kepada golongan yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Beliau meminta agensi terbabit melaksanakan kempen bersepadu berikutan kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa 90 peratus daripada kira-kira 1.5 juta rakyat Malaysia yang tidak mendaftar sebagai pengundi adalah Melayu.

Majoriti sejuta daripada 2.5 juta pengundi baru yang disasarkan yang mendaftar dalam tempoh pendaftaran pengundi baru-baru ini, bukan Bumiputera.

Takun berkata SPR telahpun melantik kakitangan dari Pejabat Daerah di samping dari pelbagai parti politik sebagai penolong pendaftar untuk membantu proses pendaftaran di Sarawak, yang mempunyai 909,022 pengundi berdaftar berdasarkan daftar pemilih yang disahkan pada Mac.

Tugas penolong pendaftar itu ialah mendapatkan seberapa banyak orang untuk mendaftar sebagai pengundi manakala perubahan alamat pengundi pula akan dilakukan oleh pegawai SPR atau pengundi itu sendiri di pejabat pos, katanya.

Beliau berkata kira-kira 14,000 kakitangan SPR di seluruh negeri menghadiri taklimat mengenai pengundi, pusat pengundian, dan prosedur penjumlahan undi iaitu sebahagian daripada persediaan SPR Sarawak mengadakan pilihan raya parlimen.

SPR membelanjakan RM31 juta untuk mengadakan pilihan raya negeri tahun lepas, yang turut merangkumi penggunaan 20 helikopter, dua kapal terbang, lebih 1,000 bot dan 300 kenderaan pacuan empat roda.

-- BERNAMA

No comments: