PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Sebuah panel bebas khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kesahihan rakaman video mengenai perbualan telefon kononnya antara seorang peguam dan seorang hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata panel tiga orang itu diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.
"Keputusan ini diambil memandangkan dakwaan dan spekulasi yang dibuat berhubung rakaman tersebut boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.
Najib berkata panel itu akan memulakan tugas dalam masa terdekat dan akan menyediakan laporan terperinci secepat mungkin kepada kerajaan.
"Hasil laporan panel itu yang dijangka diketahui dalam beberapa minggu lagi akan diumumkan kepada orang ramai," katanya.
Video lapan minit itu yang dirakamkan empat tahun lalu disiarkan dalam Internet setelah sebuah parti pembangkang mendedahkan mengenai dakwaan itu.
Najib berkata panel itu akan menjalankan siasatan penuh terhadap kesahihan rakaman video itu termasuk kemungkinan menyoal mereka yang dikaitkan.
Kepada satu soalan, beliau berkata kerajaan tidak bercadang menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara itu.
-- BERNAMA
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment