Tuesday, September 25, 2007

Rusuhan: Operasi berkas mereka yang dikehendaki bermula Selasa

KUALA TERENGGANU 24 Sept. - Seramai 32 indivudu yang belum menyerah diri berhubung kes rusuhan di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Buruk pada malam 8 September lepas akan diburu polis menerusi operasi dari rumah ke rumah mulai esok.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt Khairi Ahrasa berkata, semua balai polis serta ibu pejabat polis daerah akan dimaklumkan mengenai butiran individu yang dikehendaki itu.

“Esok kita akan mula operasi menangkap dari rumah ke rumah berdasarkan maklumat yang kita peroleh daripada orang awam sebelum ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, 32 orang itu merupakan baki daripada 46 individu yang dikehendaki polis bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung rusuhan oleh lebih 600 orang yang bertindak ganas menyerang polis menggunakan pelbagai objek termasuk bom molotov, batu, besi, kayu selain memusnahkan harta benda awam serta membakar Jalur Gemilang apabila diarah bersurai daripada satu perhimpunan haram.

Sehingga tengah malam semalam 14 orang yang dikehendaki polis menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Antara yang telah menyerah diri ialah seorang pelajar sebuah sekolah menengah agama swasta di Kampung Binjai Bongkok, Marang, dan dua pelajar sebuah sekolah menengah dekat sini. - Bernama

No comments: