Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad |
AMPANG: Selepas hampir enam tahun perbicaraan, bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad, semalam dihukum penjara 11 tahun dan 10 bulan serta denda RM370,000 setelah didapati bersalah terhadap 24 tuduhan rasuah berjumlah RM59,000.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Noradidah Ahmad, turut memerintahkan Abdul Kudus dipenjara 17 tahun lagi jika gagal membayar denda yang dikenakan terhadapnya.
Noradidah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam pembela tertuduh, M Manoharan, untuk menangguhkan hukuman berkenaan sehingga rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi dan menetapkan RM150,000 sebagai jaminan.
Perbicaraan kes itu yang bermula 9 Ogos 2003, mendapat liputan meluas berikutan pendedahan mengenainya dibuat oleh bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Kayveas selepas menerima aduan pemilik restoran Sri Steven's Corner.
Bagaimanapun, Abdul Kudus mendakwa tuduhan dibuat ke atasnya adalah konspirasi didalangi Kayveas. Abdul Kudus, 46, menghadapi 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000 daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004. Seramai 11 saksi pendakwaan termasuk Kayveas dan 12 saksi pembelaan memberi keterangan.
Dalam penghakimannya, Noradidah berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh tanpa sebarang keraguan munasabah.
Beliau berkata, ada percanggahan dalam keterangan tertuduh yang mendakwa pemilik restoran Sri Steven's Corner, Steven @ Sathiasilan a/l Sinnapan, memberitahunya pada 2005 bahawa tuduhan ke atasnya adalah konspirasi Kayveas.
"Steven yang juga salah seorang saksi pendakwaan menafikan dakwaan berkenaan ketika memberi keterangan balas apabila dipanggil pihak pendakwaan. Apa yang menghairankan, tertuduh tidak melaporkan dakwaannya ini kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sewajarnya.
"Pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan yang mengaitkan tertuduh. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM59,000," katanya.
Noradidah memerintahkan hukuman ke atas 24 tuduhan itu dijalankan secara berasingan, iaitu lima bulan penjara bagi dua tuduhan pertama dan enam bulan penjara bagi 22 lagi tuduhan serta denda antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi setiap tuduhan.
Abdul Kudus yang memakai kot biru gelap dan bertali leher berjalur merah biru, kelihatan tenang dan kerap tunduk serta sesekali dilihat tersenyum sepanjang prosiding yang berlangsung hampir satu jam setengah itu.
Sementara itu, Manoharan ketika memohon meringankan hukuman ringan terhadap anak guamnya, berkata tertuduh menghadapi pelbagai dugaan dan kesusahan sepanjang hampir enam tahun kes itu dibicarakan.
"Dalam tempoh berkenaan, ibu tertuduh meninggal dunia, bapanya terpaksa melepaskan jawatan sebagai imam dan beliau sendiri sehingga kini tidak bekerja. Tertuduh juga kini baru mendapat anak ke-10 yang berusia tiga bulan.
"Mahkamah seharusnya menghukum 'ikan yu' yang terbabit rasuah dulu, bukannya menganiaya 'ikan bilis' saja," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, berkata tidak adil untuk mengatakan hanya 'ikan bilis' dikenakan hukuman.
"Ikan yu atau ikan bilis tidak menjadi persoalan, sebaliknya setiap kesalahan rasuah dipandang berat sekalipun ia dilakukan sesiapa saja termasuk ikan kembung," katanya.
Dihukum penjara 11 tahun 10 bulan, denda RM370,000
Kudus didapati bersalah rasuah
Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Jun - Bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad dihukum penjara 11 tahun 10 bulan dan denda RM370,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000.
Dia juga menghadapi kemungkinan untuk dipenjarakan selama 17 tahun jika gagal membayar denda tersebut.
Daripada 24 pertuduhan itu, Hakim Noradidah Ahmad memerintahkan Abdul Kudus dihukum penjara selama lima bulan bagi dua pertuduhan dan enam bulan bagi 22 pertuduhan lagi.
Dia turut didenda sebanyak RM10,000 bagi 15 pertuduhan, RM20,000 bagi lapan pertuduhan dan RM60,000 bagi satu lagi pertuduhan.
Hukuman penjara diperintahkan berjalan secara berasingan.
Noradidah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan syarat jumlah jaminan RM80,000 terhadapnya ditambah kepada RM150,000.
Abdul Kudus sewaktu hakim menjatuhkan hukuman bagi setiap pertuduhan dilihat hanya menundukkan kepala dengan mata terpejam.
Terdahulu dalam keputusannya, Noradidah menyatakan, keterangan pengadu sendiri yang merupakan pemilik Restoran Sri Steven's Corner, Steven @ S. Sathiasilan menunjukkan bahawa tertuduh ada meminta dan menerima rasuah.
Ini disokong oleh keterangan dua lagi saksi yang merupakan kawan baik tertuduh yang menyatakan ada menerima sampul surat berisi wang daripada pengadu untuk disampaikan kepada Abdul Kudus.
Selain itu, kata Noradidah, 'pembayaran' rasuah direkodkan di dalam dua buah buku jualan tahunan pengadu dan tiada keterangan menunjukkan catatan-catatan dalam buku tersebut ditambah kemudian atau pengadu sengaja mereka-reka cerita.
Hakim itu turut menolak dakwaan Abdul Kudus dalam pembelaannya yang mendakwa pertuduhan terhadapnya merupakan satu konspirasi bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas.
''Dakwaan bahawa pertuduhan merupakan satu konspirasi Kayveas untuk menjatuhkannya adalah diragui dan sukar dipercayai. Jika benar pengadu berkata demikian, ia amat menghairankan kerana tertuduh tidak memberitahunya kepada peguamnya atau membuat laporan polis,'' kata hakim itu.
Katanya, Steven juga tidak mempunyai sebarang sebab untuk mereka-reka cerita terhadap tertuduh kerana ia hanya akan menjejaskan perniagaan dan pendapatannya yang mencecah RM30,000 semalam.
Abdul Kudus didapati bersalah selepas kesnya dibicarakan hampir enam tahun dengan seramai 12 saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Kayveas dan tertuduh sendiri.
Bagi setiap pertuduhan, Abdul Kudus didakwa meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1,000 dalam 15 tuduhan, RM4,000 (lapan tuduhan) dan RM12,000 (satu tuduhan) sebagai dorongan untuk menarik balik notis pembatalan lesen dan penutupan perniagaan pengadu.
Ia juga sebagai dorongan agar tertuduh tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap Steven kerana menyalahi Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Abdul Kudus didakwa melakukan kesalahan itu sejak Mei 2001 hingga Mei 2003 di beberapa tempat di sekitar Lembah Klang termasuk dua kali di Jabatan Penguat Kuasa MPAJ, Tingkat 8 Menara MPAJ, Pandan Indah, Ampang dekat sini.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 11(a) akta sama serta boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut.
Sewaktu mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, istilah ikan yu dan ikan bilis yang digunakan berulang kali oleh peguam bela tertuduh, M. Manoharan membuatkan ramai yang berada di dewan mahkamah termasuk hakim tersenyum sendiri.
''Tertuduh hanyalah seorang kakitangan awam kontrak. Ada pihak yang menerima rasuah berjuta-jura ringgit tetapi lepas begitu sahaja. Mahkamah seharusnya dapatkan ikan yu dan bukannya ikan bilis. Tak wajar gunakan ikan bilis untuk ajar ikan yu,'' katanya.
''Tak apa, hari ini kita ajar ikan bilis dahulu,'' balas Noradidah yang mengundang ketawa kecil di kalangan mereka yang hadir.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan yang mengendalikan pendakwaan dalam hujahnya juga sempat membidas kenyataan Manoharan.
''Tidak kira ikan yu, ikan jerung atau ikan kembung sekalipun sekiranya terdapat kes terhadap mereka pihak pendakwaan akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan bukan sebabnya mereka itu ikan bilis. Jadi, isu ikan yu, ikan bilis ini janganlah disebut lagi,'' kata Nordin.Abdul Kudus dipenjara 11 tahun, denda RM370,000
No comments:
Post a Comment