Kit Siang ditegur dedah hukuman 4 ahli Pemuda
Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Norliza Wasilan dan Fatin Hafizah Mohd Shahar
bhnews@bharian.com.my
Cadangan perlu dibahas sebelum disebar kepada umum
KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, menegur tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, mendedahkan hukuman yang dikenakan terhadap empat pemimpin Pemuda Umno dari Selangor yang menghalang Pengerusi DAP, Karpal Singh memasuki Parlimen, Februari lalu.
Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat mencadangkan denda RM1,000 ke atas empat pemimpin Pemuda Umno itu perlu dibawa ke sidang Dewan Rakyat terlebih dulu sebelum ia disebarkan kepada umum.
Katanya, walaupun laporan itu dibentangkan semalam, ia memerlukan dua hari sebelum dapat dibahas oleh semua ahli parlimen sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang.
"Dia (Lim) boleh berbahas nanti apabila usul yang dibentang pada hari Khamis (dibahaskan), dia boleh keluarkan apa juga pandangan dan pendapat terhadap keputusan itu pada hari berkenaan, dia tak perlu 'jump the gun'.
"Dia tak perlu pertikai keputusan (kerana) semua pihak mempunyai peluang untuk membahas usul ini ketika usul itu dibaca pada Khamis kelak, dan pada masa itu dia berhak dan mempunyai peluang untuk meluahkan apa juga pendapat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, semalam.
Beliau berkata demikian berikutan Lim dalam sidang media semalam meluahkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan berkenaan.
Lim berkata, denda yang dikenakan terhadap empat pemimpin Pemuda Umno itu ringan kerana hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah tujuh tahun penjara berdasarkan kepada Seksyen 124 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, cadangan mendenda itu tidak setanding dengan kekecohan yang dilakukan pemimpin Pemuda Umno dari Selangor di Parlimen.
"Kesalahan yang dilakukan mereka itu sangat serius dan pada pendapat saya ia perlu dibahaskan semula. Saya minta Ketua Polis Negara dan Peguam Negara dapat campur tangan dalam hal ini dan menjalankan siasatan untuk menyelesaikan perkara ini.
"Bayaran denda RM1,000 adalah tidak logik dan perkara ini akan menyebabkan mereka dengan sewenang-wenangnya melakukan kesalahan sama berikutan denda yang dikenakan ringan," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment