Wednesday, July 01, 2009

Pas bantah tindakan DAP pecat Ketua Whip PKR

Pas bantah tindakan DAP pecat Ketua Whip PKR

BUTTERWORTH: Satu lagi parti dalam Pakatan Rakyat (PR), Pas tidak setuju dengan tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP memecat Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johari Kassim sebagai ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP)

Setiausaha Pas Pulau Pinang, Mohd Fadzil Kemi, menganggap pemecatan Johari sebagai ahli majlis kerana memboikot pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait, sebagai tindakan terlalu keras.

Beliau yang juga ahli MPSP berpendapat Johari harus diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya sebagai ahli majlis.

"Johari dilihat sebagai antara ahli majlis prestasinya menonjol dan tidak wajar dihukum sedemikian keras.

"Johari, sepatutnya diberi amaran atau digantung tugas saja, bukan pecat," katanya yang menganggap masalah itu berpunca kelemahan komunikasi antara pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat.

Kelmarin, PKR membantah tindakan kerajaan negeri memecat Johari yang juga Ahli Jawatankuasa Perhubungan PKR negeri. Pemecatan itu berkuat kuasa Jumaat lalu.






Tindakan terhadap Johari terlalu keras

BUTTERWORTH 30 Jun - Beberapa Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menganggap pelucutan jawatan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johari Kassim daripada menganggotai majlis itu sebagai tindakan yang terlalu keras.

Seorang anggota MPSP dari PKR, Mohd. Kamil Abu Bakar berkata, sebagai amaran, kerajaan negeri boleh menggantung perkhidmatan Johari berikutan tindakannya mengetuai usaha memulaukan majlis pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd. Jait pada 4 Jun lepas.

"Tindakan ini (pelucutan jawatan) terlalu keras, sepatutnya digantung dahulu (tugas Johari)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MPSP hari ini.

Mohd. Kamil adalah antara sekumpulan ahli majlis dari PKR yang memulaukan upacara pelantikan Yang Dipertua baru MPSP pada 4 Jun lepas sebagai membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak berunding dengan PKR terlebih dahulu berhubung pelantikan itu.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelucutan jawatan Johari, sebagai ahli majlis, berkuat kuasa Jumaat lepas.

Mohd. Kamil berkata, beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi peluang kedua kepada Johari.

"Kami sudah jumpa pucuk pimpinan parti (PKR) dan berharap mereka dapat berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini," katanya.

Sementara itu, seorang ahli majlis yang mewakili Pas, Mohd. Fadzil Kemi turut berpendapat Johari perlu diberi peluang kedua memandangkan prestasi baiknya sebagai Ketua Whip majlis itu.

"Patut Johari diberi amaran dulu. Beliau menjalankan tugas dengan baik selama ini. Tindakan Johari memboikot majlis angkat sumpah itu disebabkan berlaku salah faham bukan sebab kedegilannya," katanya. - BERNAMA

No comments: