Wednesday, July 01, 2009

'Tolak kerajaan perpaduan kikis kuasa Melayu'

'Tolak kerajaan perpaduan kikis kuasa Melayu'

IPOH: Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak kerajaan perpaduan dan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat hanya akan menyebabkan kuasa orang Melayu di negara ini terus terhakis.

Setiausaha Agung Pergerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim, berkata perbincangan perlu diadakan pada peringkat pemimpin tertinggi Pas dan Umno bagi memahami di mana kedudukan sebenar orang Melayu di negara ini.

Beliau berkata, menolak kerajaan perpaduan dan mahu berdebat secara terbuka jelas memperlihatkan Nik Aziz seolah-olah lebih suka melihat Melayu terus terpinggir dalam pelbagai bidang dan kuasa Melayu terus terhakis.

"Sebagai contoh dalam 11 bulan pakatan pembangkang memerintah Perak yang jelas bukan Pas yang menguasai kerajaan negeri dan walaupun mereka menjadi Menteri Besar, DAP yang memerintah," katanya.

"Pemimpin Melayu dan Islam di negara ini jika gagal mengambil iktibar daripada keadaan sekarang, kuasa orang Melayu Islam akan lenyap," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Jamaluddin berkata, jika dilihat daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 adalah jelas kuasa orang Melayu di negara ini semakin lemah selepas mereka berpecah tiga kepada Umno, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, apabila parti mewakili orang Melayu berpecah mereka akan menjadi kumpulan minoriti dan tampuk kuasa akan ditentukan oleh pihak lain.

"Orang Melayu tidak lagi akan menjadi kuasa penentu kepada kerajaan yang akan mentadbir negara ini sama ada Umno dan Barisan Nasional sebagai kerajaan atau pembangkang yang diwakili oleh Pas atau PKR.

"Apa yang penting sekarang pemimpin Melayu dari Umno dan Pas wajar duduk semeja berbincang mengenai masa depan orang Melayu seperti mewujudkan kerajaan perpaduan," katanya.

Beliau berkata, berdebat secara terbuka tidak akan menyelesaikan sebarang masalah berkaitan orang Melayu, malah mungkin akan merumitkan lagi keadaan kerana kedua-dua pihak akan mengatakan perjuangan mereka saja yang betul.

"Sehubungan itu, saya mencadangkan jika pemimpin kedua-dua pihak ikhlas mahu melihat orang Melayu kembali bersatu sama ada dari Umno atau Pas dan PKR satu perbincangan tertutup wajar diadakan," katanya.

No comments: