Wednesday, July 01, 2009

KM enggan layan rayuan isu roboh penempatan

KM enggan layan rayuan isu roboh penempatan

Oleh Amin Ridzuan Ishak dan Rudy Syareme Sheriffudin
bhnews@bharian.com.my


PENYOKONG Hindraf mengadakan protes di depan bangunan Ibu Pejabat DAP Perak menghalang projek pembangunan di penempatan setinggan di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang, semalam.

Penduduk Kampung Buah Pala berang Guan Eng lepas tangan

GEORGETOWN: Penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini, semalam, kecewa dan marah dengan keengganan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bertemu untuk menyerahkan memorandum berhubung nasib mereka selepas perkampungan itu yang akan dimajukan.

Kira-kira 60 penduduk yang berkumpul di depan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sejak jam 4 petang dengan membawa sepanduk untuk meminta kerajaan negeri campur tangan dalam isu itu, pulang hampa.

Kelibat Guan Eng tidak kelihatan dan berikutan itu, polis mengarahkan kumpulan berkenaan bersurai. Bagaimanapun, penduduk enggan bersurai selagi Ketua Menteri tidak berjumpa dengan mereka.

Berikutan itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik, meminta kumpulan berkenaan masuk auditorium dalam bangunan berkenaan jam 5 petang.

Kumpulan itu bersurai secara aman jam 7.30 malam selepas Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, berjumpa mereka.

Peguam yang mewakili penduduk terbabit, Darshan Singh Khaira, yang turut hadir bersama penduduk, menyindir kerajaan Pakatan Rakyat kerana sebelum ini berjanji untuk berjuang demi nasib penduduk.

Beliau juga memperli Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, RSN Rayer yang sebelum ini membuat kenyataan 'langkah mayatnya dulu jika ada pihak mengambil tanah itu daripada penduduk'.

"Kami sudah menyediakan dua kubur," katanya yang kecewa kerana Guan Eng tidak mahu bersemuka dengan penduduk apabila berhadapan dengan masalah.

Darshan berkata, pemimpin Pakatan Rakyat berjumpa dengan penduduk ketika kempen pilihan raya lalu tetapi kini sebaliknya.

"Kenapa kini mereka melarikan diri, membiarkan kami. Inikah makna CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus)," katanya.

Kemarahan penduduk dengan keengganan Guan Eng berjumpa mereka turut dirasai sekumpulan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mahu menyerahkan memorandum berhubung isu sama, pada sebelah pagi.

Mereka berkumpul di depan Komtar sebelum dibawa ke Tingkat Lima dan menyerahkannya kepada Ng. Memorandum itu diserahkan anak pemimpin pertubuhan yang diharamkan itu, W Vmaishhannavi, 7, yang turut disertai ibunya K Shanti.

Sementara itu, Santhi melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana Guan Eng enggan bertemu mereka untuk menerima memorandum berkenaan.

"Saya kesal kerana suara penduduk tidak dipedulikan sungguhpun Pakatan Rakyat memimpin kerajaan sudah lebih 15 bulan dan Guan Eng tidak pernah melawat kampung itu," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy dalam perjumpaan dengan penduduk di kampung itu petang semalam, mengumumkan tempoh mengosongkan rumah dilanjutkan sebulan lagi.

Kampung Buah Pala yang juga dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang, membabitkan kawasan seluas 2.6 hektar, mempunyai 41 rumah dengan kira-kira 300 penduduk dan dikatakan kampung warisan tradisional kaum India.

Usaha terakhir penduduk untuk menyelamatkan perkampungan itu daripada dibangunkan gagal selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka.

Bantahan secara aman turut diadakan pengikut Hindraf di depan ibu pejabat DAP di Petaling Jaya dan pejabat DAP di Ipoh, membantah keengganan kerajaan negeri campur tangan untuk menyelesaikan masalah penduduk Kampung Buah Pala.






Guang Eng didakwa cuba larikan diri


SEBAHAGIAN penduduk Kampung Buah Pala menunjukkan kain rentang dan sepanduk bantahan terhadap kerajaan negeri di Komtar, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 30 Jun - Penduduk Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor di sini hari ini kecewa dengan tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang disifatkan cuba melarikan diri dan enggan bertemu mereka bagi menyelesaikan isu yang membelenggu kampung itu.

Lebih 200 penduduk kampung mula berkumpul secara aman di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada pukul 4 petang.

Ia bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan negeri yang didakwa tidak menunaikan janji yang ditabur sebelum ini.

Mereka memegang sepanduk antara lain tertulis, What is CAT?, Jangan cabul maruah kaum India, Guan Eng 'walk your talk', What is DAP's real agenda, Tukar ADUN Seri Delima dan 'Jom Ubah' Guan Eng cakap kosong.

Mereka turut memegang kain rentang tertulis Kami berharap Ketua Menteri dan kerajaan pakatan rakyat membela perkampungan High Chappral yang berusia lebih 100 tahun seperti dijanjikan, sambil melaung-laung meminta Guan Eng turun.

Selepas hampir 30 minit berbuat demikian, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ng Wei Aik memberitahu, Guan Eng tidak dapat bertemu mereka dan mewakilkan dirinya untuk menerima memorandum tersebut.

Kenyataan beliau itu tidak mampu meredakan keadaan di pekarangan Komtar yang turut dipantau oleh pihak polis malah situasi menjadi hangat dan tegang apabila penduduk mula mengelilingi Wei Aik.

Peguam yang mewakili penduduk berkenaan, Darshan Singh dengan lantangnya bertanya dan mempersoal di manakah Ketua Menteri dan mengapa beliau enggan berjumpa dengan penduduk kampung.

"Guan Eng jangan larikan diri dan tidak perlu bersembunyi lagi malah kami tidak mahu mendengar kata-kata serta janji manis yang kononnya mahu membela dan mempertahankan hak penduduk kampung.

"Mereka sering kata tiada wang tetapi kami difahamkan DAP akan membina ibu pejabat parti yang baru yang dianggarkan bernilai RM4 juta, mana mereka dapat duit ini semua? Daripada pemaju ke? Siapa yang ingin dibela di sini?

"Kami hanya mahukan keadilan," katanya sambil disahut laungan penduduk kampung yang tidak mahu berganjak dari kawasan tersebut sehingga Guan Eng turun berjumpa mereka.

Darshan turut mempersoalkan alasan masalah penduduk kampung sukar untuk diselesaikan sedangkan kerajaan negeri mempunyai kuasa menghalang kerja-kerja merobohkan rumah di Kampung Buah Pala diteruskan.

Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata: "Mengapa dia tidak mahu berjumpa kami, semasa berkempen pilihan raya dulu selalu datang jumpa hingga ke pasar dan berkata kepada kami supaya mengundinya," katanya.

No comments: