Wednesday, July 01, 2009

Boleh dengar rayuan Anwar

Boleh dengar rayuan Anwar

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam, memutuskan ia boleh mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemindahan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Abdul Hamid Embong yang bersidang bersama Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffery Tan Kok Wha, membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal pendakwa bahawa kes itu tidak boleh dirayu kerana perbicaraan sebenar belum bermula di Mahkamah Tinggi.

Abdul Hamid ketika menolak bantahan itu berkata kes itu boleh dirayu mengikut Seksyen 3, Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Berikutan itu, mahkamah memerintahkan semua prosiding berhubung kes liwat Anwar di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusannya.

"Esok (hari ini) kedua-dua pihak boleh datang ke mahkamah ini. Tolong maklumkan kepada hakim Mahkamah Tinggi bahawa anda (peguam dan pendakwa) akan datang ke sini esok," katanya Abdul Hamid.







Rayuan Anwar boleh didengar

PUTRAJAYA 30 Jun - Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan bahawa ia boleh mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang kes liwatnya hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Abdull Hamid Embong, ketika menolak bantahan awal pendakwa, berkata di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, keputusan Mahkamah Tinggi mengenai perkara itu boleh dirayu.

Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk mendengar merit rayuan itu.

Hakim Abdull Hamid yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha juga membenarkan permohonan peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah bagi penangguhan prosiding berhubung kes itu di Mahkamah Tinggi sehingga selesai rayuan.

''Esok kedua-dua pihak perlu ke sini (Mahkamah Rayuan). Sila beritahu hakim Mahkamah Tinggi bahawa anda akan ke sini esok. Tak apa, anda (tim pembela) boleh menyebut nama saya,'' kata Hakim Abdull Hamid.

Esok, Mahkamah Tinggi dijadual mendengar permohonan awal Anwar supaya pihak pendakwaan menyediakan beberapa bahan termasuk rakaman asal CCTV yang diambil di beberapa lokasi di kondominium berkenaan, sampel DNA dan kenyataan saksi-saksi, termasuk pengadu, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Ketua Pembangkang itu yang hadir di mahkamah, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mac yang menukar keputusan Mahkamah Sesyen yang mengekalkan perbicaraan liwatnya di Mahkamah Sesyen.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 8 Julai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Terdahulu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berhujah bahawa di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman, keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemindahan itu tidak boleh dirayu kerana ia hanyalah proses prosedur kerana perbicaraan belum bermula.

Sulaiman, bagaimanapun, berhujah bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu akhirnya mengetepikan hak Anwar untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

No comments: