Sunday, May 17, 2009

Murugiah dipecat

Murugiah dipecat

KUALA LUMPUR 16 Mei - Lembaga Disiplin Parti Progresif Penduduk (PPP) hari ini memecat tujuh orang termasuk Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Murugiah dipecat kerana didakwa menggunakan kedudukannya sebagai timbalan menteri untuk mengatur sidang akhbar pembantu khasnya, N. Shanmuganathan bagi memburuk- burukkan parti dan AMT.

Murugiah juga didakwa mengugut peguam dan ahli AMT parti untuk menggunakan segala kuasa bagi membatalkan pendaftaran PPP.

"Beliau akan menggunakan segala kuasanya untuk membatalkan PPP," menurut lembaga tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Anggota PPP lain yang dipecat ialah M. Jeyaratnam, Shanmuganathan, K. Tanggaraju, S. Kanesan, S. Saravanan dan R. Rajandran kerana didakwa memburuk-burukkan parti, mengamalkan politik wang dan mengadakan pertemuan sulit dengan pengerusi bahagian.

Kenyataan itu menegaskan, ketujuh-tujuh anggota itu boleh membuat rayuan secara bertulis di bawah Perkara 19.2 Perlembagaan Parti dalam tempoh 14 hari yang boleh diserahkan kepada AMT dan Setiausaha Agung parti.

"Dengan keputusan tersebut, PPP tidak akan lagi membuat sebarang kenyataan berkaitan dengan ketujuh-tujuh bekas ahli parti tersebut.

"Ketujuh-tujuh bekas ahli itu juga dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pemimpin atau parti sehingga rayuan mereka dipertimbangkan," ujar kenyataan itu lagi.

No comments: