Sunday, May 17, 2009

Lima rebut Timbalan Presiden Pas

Lima rebut Timbalan Presiden Pas
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Hadi diumum menang tanpa bertanding kekal terajui parti

KUALA LUMPUR: Seperti dijangkakan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Pas selepas menerima 136 pencalonan daripada 137 kawasan parti itu yang sudah menghantar pencalonan masing-masing sehingga tarikh akhir, 8 Mei lalu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Pas, Datuk Mustapa Ali yang turut mengumumkan senarai calon layak bertanding pada pemilihan muktamar tahunan ke-55 parti itu, bulan depan.

Daripada 137 pencalonan, Pas kawasan Bukit Bintang tidak mencalonkan bekas Menteri Besar Terengganu itu sebagai presiden parti sebaliknya menamakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kemenangan itu menyaksikan sekali lagi Abdul Hadi tidak pernah ditentang sepanjang menjawat jawatan berkenaan.

"Saya mengesahkan kemenangan Abdul Hadi selepas beliau mengembalikan surat tawaran mempertahankan jawatannya selepas diedarkan 11 Mei lalu," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalannya, Hassan Shukri.

Pas mempunyai 176 kawasan yang berdaftar dan layak membuat pencalonan. Namun, sehingga tarikh tutup 8 Mei lalu, hanya 137 menghantar senarai pencalonan untuk pemilihan.

Senarai pencalonan yang dihantar kepada jawatankuasa itu selepas tarikh akhir tidak diambil kira walaupun difahamkan, 40 kawasan menghantar selepas tamat tempoh.

Untuk layak bertanding bagi semua jawatan parti, setiap calon perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua pencalonan.

Mustapa turut mengumumkan lima pencalonan diterima untuk jawatan paling kontroversi iaitu Timbalan Presiden parti. Mereka yang layak ialah penyandang jawatan, Nasharudin Mat Isa; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden 1, Datuk Husam Musa dan Naib Presiden 2, Mohamad Sabu.

Bagi jawatan Naib Presiden, 16 pencalonan diterima Jawatan Kuasa Pemilihan termasuk penyandang jawatan, Husam; Mohamad Sabu dan Ahmad Awang.

Turut dicalonkan, Nasharudin, Azizan; Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar; Ketua Penerangan; Datuk Mahfuz Omar; Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib; Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin; Ketua Dewan Pemuda, Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Calon lain turut disenarai, Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan, Ahmad Idris; Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Mohd Amar Abdullah dan Ahli Parlimen Baling, Taib Azamuddin

Seramai 86 dicalonkan untuk merebut 18 kerusi Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pusat termasuk 10 calon muslimat.

Mustapa berkata, surat tawaran sudah dihantar kepada semua calon untuk mendapatkan pengesahan mereka bertanding dan calon perlu memberikan jawapan selewat-lewatnya pada 25 Mei.

Pencalonan bagi jawatan utama parti ditutup pada 8 Mei lalu, manakala pencalonan bagi jawatan utama Dewan Pemuda dan Muslimat PAS adalah pada 17 Mei ini.

Senarai calon muktamad akan bertanding bagi jawatan utama parti, termasuk Pemuda dan Muslimat akan diumumkan pada 26 Mei.

Dijangkakan 1,100 perwakilan akan menghadiri muktamar parti itu awal bulan depan yang akan diadakan Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.






Abdul Hadi kekal Presiden Pas

Oleh HERMAN HAMID
herman@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 16 Mei - Datuk Seri Abdul Hadi Awang sah mengekalkan jawatan Presiden Pas tanpa bertanding manakala lima nama dicalonkan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden.

Untuk jawatan Naib Presiden, 16 pemimpin berjaya melayakkan diri sementara bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, 86 nama disahkan layak bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali yang mengumumkan perkara tersebut turut mengakui jumlah yang layak bertanding pada pemilihan kali ini adalah paling ramai sepanjang sejarah parti itu setakat ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Hassan Shukri.

Mengikut perlembagaan Pas, seseorang itu hanya memerlukan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan parti termasuk jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, lima nama yang dicalonkan ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din, Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu di samping penyandangnya, Nasharudin Mat Isa.

Bagaimanapun, Mustafa enggan mendedahkan jumlah pencalonan yang diterima oleh setiap calon atas alasan bagi mengelakkan spekulasi berlebihan media.

Utusan Malaysia bagaimanapun dalam laporannya semalam memetik sumber yang mengatakan Nasharudin memperoleh sebanyak kira-kira 60 peratus pencalonan manakala Husam dan Mohamad Sabu masing-masing mendapat sebanyak kira-kira 20 peratus pencalonan.

Nasharudin dan Azizan turut dicalonkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden, bersama-sama tiga lagi penyandangnya, Husam, Mohamad Sabu dan Ahmad Awang.

Sebelas yang lain ialah Datuk Harun Taib, Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali, Idris Ahmad, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, Dr. Mujahid Yusof Rawa, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Salahuddin Ayub, Taib Azamuddin Md. Taib dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, Abdul Hadi disahkan mengekalkan jawatan yang disandang sejak tahun 2003 itu selepas menerima pencalonan daripada 136 Pas Kawasan.

Keseluruhannya Pas mempunyai 176 Kawasan namun daripada jumlah itu hanya 137 kawasan yang selesai bermesyuarat sebelum tarikh akhir penyerahan senarai pencalonan pada 8 Mei lalu.

Satu-satunya Pas Kawasan yang tidak mencalonkan Abdul Hadi ialah Bukit Bintang yang mencalonkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sementara itu pada sidang akhbar tersebut, Mustafa memaklumkan senarai akhir calon yang akan bertanding pada Muktamar Agung Pas pada 3 Jun ini hanya akan diumumkan pada 26 Mei ini.

Kata beliau, untuk jawatan di peringkat Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat pula akan diumumkan Selasa ini kerana pencalonan peringkat sayap yang dibuat mengikut negeri masih belum ditutup.

''Mereka yang dicalonkan untuk jawatan parti perlu mengesahkan tawaran bertanding sebelum atau pada 25 Mei ini dan keesokannya kita akan umum senarai akhir. Kalau tak jawab surat tawaran dia akan dianggap tak minat bertanding.

''Sementara itu, jumlah keseluruhan perwakilan belum dimuktamadkan lagi tetapi dianggarkan kira-kira 1,100 perwakilan akan terlibat dalam pemilihan ini,'' katanya.

No comments: