Sunday, May 17, 2009

Dr. M sedih fitnah terhadap orang Melayu

Dr. M sedih fitnah terhadap orang Melayu

KUALA LUMPUR 16 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih kerana bermacam fitnah dilemparkan kepada orang Melayu dan Islam yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana kaum itu kini terlalu lemah.

Bekas Perdana Menteri menjelaskan, keadaan ini berlaku kerana orang Melayu dan Islam telah jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

''Umat Islam sendiri tidak dapat menjawab walaupun mereka dihina atau membidas balik penghinaan yang telah dibuat kerana bukan kelompok manusia yang berjaya,'' katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Perkim Ke-47 di sini hari ini.

Dr. Mahathir menjelaskan, dakwah yang cukup berkesan pada masa ini ialah menentukan umat Islam berjaya dengan memastikan seluruh umat menguasai ilmu pengetahuan dan menjadi bangsa yang berjaya.

Katanya, sekiranya perkara ini tidak dapat dibuat di semua negara Islam sekurang-kurangnya ia dapat dilaksanakan di Malaysia di mana orang Melayu masih berkuasa.

''Cara untuk memastikan umat Islam mempunyai pengetahuan ialah dengan mengajar Fardu Ain tetapi harus juga memberi perhatian sewajarnya kepada Fardu Kifayah kerana ilmu yang cukup akan membolehkan kita melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan agama dan umat Islam.

''Saya meminta Perkim dapat melaksanakan dakwah di mana selain memberi penekanan kepada Fardu Ain, Fardu Kifayah juga perlu diberi perhatian yang menyeluruh,'' katanya.

No comments: