Sunday, May 17, 2009

Dr M tak hairan Pas terbabit politik wang

Dr M tak hairan Pas terbabit politik wang


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak hairan ada pemimpin parti yang melaung prinsip perjuangan Islam seperti Pas terbabit politik wang.

Bekas Perdana Menteri berkata, gejala itu yang semakin berleluasa boleh berlaku pada sesiapa saja, individu atau parti politik sehingga sanggup melakukan perkara bertentangan dengan ajaran Islam.

"Nampaknya rasuah berleluasa sehingga sesiapa saja terbabit, kita tak kata Pas tidak lakukan jenayah... dia lakukan macam orang lain juga, jadi tak hairan dia buat benda bertentangan ajaran Islam," katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan ke-47, di sini semalam, ketika mengulas gejala politik wang yang didakwa menular dalam Pas menjelang pemilihan parti itu, bulan depan. Perkara itu didedahkan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud, Rabu lalu.

Mengenai isu ulama atau profesional yang paling layak menerajui Pas, bekas Perdana Menteri itu berkata, tafsiran ulama bukan terhad kepada mereka mempunyai pengetahuan agama tinggi kerana orang mempelajari ilmu lain juga dianggap ulama.

"Perkataan ulama daripada perkataan alim iaitu berpengetahuan. Kalau kita berpengetahuan dalam perubatan, kita pun ulama. Islam tak kata mesti asingkan ulama daripada yang lain, kita pun tak tahu siapa ulama. Ulama dulu memang betul orang bijak agama, tidak terbabit politik," katanya.

Mengenai perebutan jawatan tinggi dalam Pas termasuk oleh kelompok yang dikaitkan menyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata, pemimpin Pas perlu mentafsir pemimpin Pakatan Rakyat yang menyertai mereka juga ialah ulama.

"Dia (Pas) mula kena tafsir Anwar sebagai ulama nombor satu, (Lim) Kit Siang (Penasihat DAP) jadi ulama nombor dua, baru boleh ada pakatan, ada pemimpin. Kalau buat dalam Pas saja, tak cukuplah," katanya.






Rasuah dalam Pas berlaku - Dr. M

KUALA LUMPUR 16 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, beliau yakin rasuah turut berlaku di dalam Pas memandangkan amalan itu semakin berleluasa di negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, parti Pas sama seperti parti-parti lain yang mana rasuah sering berlaku.

''Saya tidak hairan anggota parti itu buat benda yang bertentangan dengan ajaran Islam,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Ke-47 di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi bahawa berlaku aktiviti memberi hadiah dan menjamu makanan kepada perwakilan oleh beberapa individu dalam Pas sebagai salah satu cara untuk melobi.

Mohamed Daud bagaimanapun tidak berhasrat mendedahkan mereka yang dikaitkan dengan permainan politik kotor dalam usaha melobi jawatan.

Tegas beliau, apa yang dinyatakan sebelum ini adalah secara umum tentang wujud keadaan seumpama itu berdasarkan gambaran yang diberikan oleh rakan-rakan menjelang pemilihan dalam parti.

Mengulas mengenai pertelagahan di dalam parti pembangkang itu mengenai kepimpinan ulama dan profesional, Dr. Mahathir meminta agar di buat tafsiran siapakah ulama.

Jelas beliau, perkataan ulama bermula dengan perkataan alim iaitu orang yang berpengetahuan. Bermakna, jelasnya, orang yang berpengetahuan sama dalam bidang lain termasuk perubatan juga boleh dianggap ulama tetapi ulama dalam bidang perubatan.

No comments: