Anwar kawan saya - Husam
KUALA LUMPUR 16 Mei - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menegaskan, walaupun beliau bukan pro-Anwar namun tidak ada sebab untuknya memusuhi Penasihat PKR itu.
Menurut Husam, beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi matlamat dan perjuangan yang sama iaitu menumbangkan UMNO.
Husam yang dikaitkan sebagai 'puak Erdogan' - istilah yang merujuk pemimpin dalam Pas yang proAnwar berkata, atas sebab persamaan itu maka beliau memilih untuk berkawan dengan Anwar.
''Kalau kata saya pro-Anwar, saya tak pro-Anwar. Saya pro-Pas dan saya juga tak pro-UMNO. Itu jelas. Tapi sebagai rakan kongsi dalam pakatan pembangkang kita ada kesetiaan rakan kongsi. Itu beza.
''Anwar matlamat dia untuk menumbangkan UMNO dan itu juga perjuangan saya untuk lebih 30 tahun. Maka kenapa saya tak boleh berkawan dengan beliau.
''UMNO adalah sasaran yang sama, jadi kenapa perlu saya pergi jadi pro-UMNO untuk menentang Anwar yang sebenarnya adalah kawan saya. Saya tak nampak logik dia,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Husam yang juga disebut-sebut bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden dilabel ramai pemerhati politik sebagai salah seorang pemimpin dalam Pas yang pro-Anwar.
Dengan menjelangnya pemilihan Muktamar Agung Pas awal bulan depan, pelbagai 'serangan' yang dibuat ke atasnya termasuk mempertikaikan pendirian Husam yang dilihat terlalu rapat dengan Anwar.
Walaupun sering dinafikan, namun kebanyakan media termasuk portal berita melihat pemilihan dalam Pas kali ini melibatkan pertembungan antara ulama yang pro kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan 'puak Erdogan' yang pro-Anwar.
Apatah lagi sebelum ini Abdul Hadi pernah mengusulkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang berbeza dengan pendirian Anwar yang berterusan mahu menumbangkan UMNO.
Sementara itu, ditanya tentang pelbagai tuduhan di Internet dengan terbaru mengaitkan pengagihan saham Ladang Rakyat kepada perwakilan yang dikatakan dituju kepada beliau, Husam berkata, selagi tuduhan itu tidak menyebut namanya, maka beliau tidak perlu menjawab.
Kata beliau, tuduhan seperti itu juga jelas tidak berasas kerana Islam mengajar sesiapa yang mahu membuat tuduhan dan dakwaan supaya berani menyatakan dengan tepat berserta dengan bukti.
''Saya punya konsep kalau dakwaan itu betul orang itu kena berterus terang dalam dakwaan dia. Kalau setakat kata baju berpetak, proAnwar, Erdogan, pemecah belah Pas, pembantu sesat, saya tak ada rasa terliur nak jawab sebab tak ada kena mengena dengan saya.
''Saya tak perlu jawab kerana bukan saya. Kalau saya jawab nanti orang itu kata bukan awak, saya kata orang lain, baju petak berapa juta orang pakai baju petak, kalau kata pro-Anwar saya tak pro- Anwar saya pro-Pas,'' jelasnya.
Ditanya mengenai jawatan yang akan ditandinginya pada Muktamar Agung Pas awal bulan depan, Husam berkata, beliau masih menimbangkan perkara tersebut.
''Saya masih puasa. (Masa ini) saya akan timbang. dan timbang,'' katanya.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding lebih daripada satu jawatan, Husam berkata;
''Tunggulah lepas nampak anak bulan. Sekarang tak baik suruh saya buka puasa. Nanti bila hari raya saya jemput semua.
''Surat pengesahan bertanding nanti saya serah sebelum bertanding,'' jelasnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment