Sunday, May 17, 2009

Ketua Dewan Ulama diminta beri bukti

Ketua Dewan Ulama diminta beri bukti
Oleh Rohaniza Idris dan Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my

Mohamed boleh dikenakan tindakan jika gagal perjelas rasuah politik

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud boleh dikenakan tindakan tatatertib jika gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya berhubung gejala pemberian hadiah dan jamuan menjelang pemilihan parti itu, bulan depan.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata Mohamed akan dipanggil menghadap Dewan Harian Pas yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, esok untuk memberi penjelasan berkaitan perkara itu.

"Dewan Harian Pas mendapati ada keperluan meneliti perkara berkenaan. Kita mahu beliau (Mohamed) mengemukakan bukti yang ada dan kita akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada (calon) terbabit dengan gejala itu.

"Sekiranya Mohamed gagal mengemukakan bukti kukuh untuk menyokong dakwaan dibuatnya, tindakan tatatertib juga boleh diambil oleh Jawatankuasa Disiplin parti terhadapnya," katanya pada sidang media, di sini semalam.

Rabu lalu, Ketua Dewan Ulama Pas itu dilapor mendedahkan pada Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan mengenai gejala berkenaan, tetapi menyifatkannya bukan bertujuan membuat tuduhan terhadap mana-mana calon, sebaliknya sekadar menasihatkan perwakilan supaya menjauhi perlakuan tidak sihat itu.

Beberapa pemimpin tertinggi Pas menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai amat serius dan mahu pemimpin yang didapati terbabit dalam gejala itu dikenakan tindakan tegas kerana menjejaskan imej parti yang mendukung perjuangan Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustapa Ali, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan salah laku termasuk berkaitan rasuah politik daripada mana-mana ahlinya.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, beliau yakin calon pada pemilihan parti itu tidak mengamalkan gejala berkenaan yang sebaliknya hanya dihangatkan dalam laporan blog.

"Dalam blog apa saja mereka boleh tulis... antara langit dan bumi semua boleh masuk. Saya tidak lihat kepada blog jadi saya tidak tahu dakwaan itu," katanya sambil menambah tiada mekanisme khas dirangka Pas bagi membanteras gejala berkenaan.





Rasuah hadiah: Mat Iraq diarah beri penjelasan

KUALA LUMPUR 16 Mei - Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi diarah memberi penjelasan kepada Dewan Harian Pas Pusat pada mesyuarat khas Isnin ini, ekoran kenyataannya mengenai amalan memberi hadiah kepada perwakilan menjelang pemilihan parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, sekiranya Mohamed dapat mengemukakan bukti maka ia akan dipanjangkan kepada jawatankuasa disiplin bagi membolehkan tindakan diambil ke atas mereka yang terbabit.

''Tak kira siapa, asal saja dia terlibat baik pemimpin cawangan sampailah yang tertinggi, kita tak teragak-agak untuk ambil tindakan.

''Walaupun sebelum ini dilaporkan empat pemimpin tertinggi Pas menafikan wujudnya amalan tersebut tetapi kita nak bagi peluang kepada Ketua Dewan Ulama menjelaskan dakwaan beliau itu.

''Jika ada bukti, kita akan panjangkan untuk tindakan dan jika tiada bukti kita pun perlu disiplinkan semua pihak dalam Pas tanpa mengira jawatan mereka,'' katanya pada sidang akhbar di pejabat Harakah di sini hari ini.

Ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan Rabu lalu, Mohamed mendedahkan wujudnya amalan memberikan hadiah kepada perwakilan untuk mendapat sokongan.

Mohamed yang juga dikenali sebagai Ustaz Mat Iraq melihat amalan tidak sihat itu mula menular dalam kalangan pemimpin Pas yang inginkan kuasa, justeru meminta para perwakilan ke Muktamar Agung Pas kelak menolak pemimpin yang mengamalkannya.

No comments: