Friday, November 16, 2007

‘Saya tahu tarikhnya’ -- Namun tidak dapat nyatakan bila pilihan raya diadakan – Ab. Rashid

Oleh Norizan Abdul Muhid

MELAKA 15 Nov. – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, beliau tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat mengumumkannya.

“Saya tidak boleh berbohong yang saya tidak tahu bila (tarikh) pilihan raya umum akan datang. Saya tidak dapat beritahu bila masanya, tetapi saya telah beri cukup peringatan untuk semua pihak membuat persediaan,” katanya.

Sambil menjelaskan bahawa bahang pilihan raya umum semakin hampir, beliau meminta semua pihak bersedia kerana SPR tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum.

‘‘Bila SPR sudah buat program taklimat seperti ini, harap-harap parti politik juga mula buat persediaan. Malah sebelum ini saya sudah banyak kali keluarkan amaran bahawa pilihan raya umum ke-12 akan diadakan pada bila-bila masa.

‘‘Apa yang saya boleh jamin, pilihan raya ke-12 nanti akan berjalan dengan telus dan adil tetapi jangan campur aduk dengan isu lain yang tidak berkaitan dengan bidang kuasa SPR,” katanya.

Rashid berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat kepada pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya umum ke-12 peringkat negeri Melaka di sini hari ini.

Taklimat itu antaranya berkaitan peranan dan tanggungjawab pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Bermula di Melaka hari ini, SPR akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat serupa di setiap negeri.

Rashid berharap pilihan raya umum dapat diadakan selepas selesai SPR mengadakan semua taklimat itu yang dijangka mengambil masa selama sebulan setengah.

Pilihan raya umum ke-11 diadakan pada Mac 2004 dan bulan ini genap tiga tahun lapan bulan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat besar dalam pilihan raya tersebut. Mengikut peraturan pilihan raya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai masa sehingga pertengahan 2009 sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-12.

Rashid, bekas Setiausaha SPR sebelum dilantik sebagai pengerusi suruhanjaya itu, telah menguruskan enam kali pilihan raya umum.

Menurut beliau, pilihan raya di negara ini sentiasa dijalankan secara adil, bebas dan telus mengikut undang-undang sedia ada.

“Undang-undang yang sama masih terpakai sekarang dan jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan undang-undang itu, saya rasa patut mereka jangan salahkan SPR.

‘‘Mereka kena cari saluran untuk menentukan supaya pihak berwajib diyakinkan bahawa undang-undang itu patut dikaji,” jelasnya.

Beliau menambah, SPR sedia untuk berdialog dengan pihak yang menuduh kononnya SPR tidak adil, tidak bebas dan tidak telus.

Menurutnya, SPR sentiasa membuka pintu perbincangan dan forum terbuka kepada mereka yang tidak berpuas hati berkaitan fungsi dan tanggungjawab SPR.

‘‘Jangan ganggu kami, biar SPR jalankan kerja dan bebas mengendalikan pilihan raya nanti. Saya jamin pilihan raya umum ke-12 kelak akan berjalan dengan adil, telus dan bersih.

‘‘Bidang kuasa yang dihadkan kepada SPR hanya berkenaan dengan undang-undang pilihan raya. SPR hanya bergerak berdasarkan Perlembagaan sedia ada. Kalau ada yang tidak puas hati dengan undang-undang pilihan raya, mereka boleh cari saluran yang sesuai untuk kemukakan rasa tidak puas hati itu,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai khidmatnya sebagai Pengerusi SPR yang berakhir Disember ini, Rashid berkata:

‘‘Saya dengar ada ura-ura perkhidmatan saya akan bersambung tetapi saya rasa lebih elok saya selesaikan tugas sehingga selesai pilihan raya ke-12.

“Rasanya tidak adil untuk menyerahkan tanggungjawab ini kepada pengganti baru.”

No comments: