Oleh Abdul Razak Raaff dan Irwan Shafrizan Ismail
KUALA LUMPUR: Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, tidak menolak kemungkinan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menjalankan inkuiri berhubung kesahihan rakaman perbualan telefon yang didakwa antara seorang peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara.
Dr Rais yang juga seorang daripada tiga menteri yang ditugaskan memberi pandangan dari perspektif perundangan mengenai hasil laporan panel bebas khas yang menyiasat rakaman itu, mengesahkan beliau sudah menerima dan meneliti salinan laporan berkenaan.
"Menteri Kabinet lain juga sudah menerimanya dan masing-masing ada kerja yang perlu dilaksanakan... sampai masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan umumkan, jangan bimbang... tidak lama lagi.
"Saya sudah lihat video dan dengar suara yang dirakam... tapi tidak bolehlah bocorkan apa yang Kabinet bincangkan.
"Panel turut mencadangkan perkara itu (penubuhan Suruhanjaya Diraja). Perdana Menteri akan membuat pengesahan kemudian, tapi kecenderungan ke arah itu sudah jelas," katanya selepas melancarkan buku antologi cerpen Turunnya Sebuah Bendera, karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr Usman Awang di sini, semalam.
Kelmarin, akhbar melaporkan panel bebas khas yang menyiasat mengenai kesahihan rakaman itu sepakat mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja.
Panel yang ditubuhkan September lalu dan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, dilaporkan bersetuju supaya inkuiri diadakan terhadap dakwaan itu.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, sudah memberi taklimat kepada Kabinet mengenai kandungan laporan panel itu.
Nazri berkata, semua anggota Kabinet akan diminta memberi input masing-masing, manakala tiga menteri yang mempunyai latar belakang undang-undang diberi tugas untuk memberi pandangan dari perspektif perundangan.
Selain beliau dan Dr Rais, seorang lagi ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Mengulas lanjut, Dr Rais berkata, kerajaan mungkin menimbang penubuhan suruhanjaya itu kerana panel bebas khas yang menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu, tidak disertai kuasa khusus.
"Kerajaan berpendirian telus dan akan memikirkan cara lain sekiranya usaha menerusi jawatankuasa atau panel khas tidak memadai," katanya.
Sementara itu, Nazri yang ditemui di lobi Parlimen semalam, berkata beliau serta Dr Rais dan Radzi tidak akan berjumpa bagi membincangkan pandangan masing-masing berhubung laporan panel itu.
Nazri berkata, mereka akan memberi pandangan dan cadangan secara berasingan untuk dikemukakan kepada jemaah menteri.
Katanya, semua anggota Kabinet akan diminta memberi input masing-masing berkaitan laporan berkenaan.
"Lebih baik mendapatkan maklum balas daripada 32 menteri berbanding tiga menteri," katanya.
Nazri berkata, beliau akan membaca dan menilai laporan panel khas itu ketika menghadiri mesyuarat Kesatuan Parlimen Asia di Tehran, Iran.
Beliau akan berlepas ke negara berkenaan Sabtu ini dan pulang untuk memberi pandangan dan maklum balas pada pagi Rabu depan.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment