Fri | Nov 16, 07 | 7:31:58 am MYT
Salah satu karya Sasterawan Dato' Shahnon Ahmad yang pernah dianggap jijik malah hampas oleh pihak tertentu iaitu Shit! kini kembali diulang sebut di dalam Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad pada 13 - 14 November lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sesiapa yang pernah mengikuti meniti gelombang Reformasi 1998 pastinya tidak dapat melupakan Shit yang telah menggegarkan perkembangan dunia sastera tanahair. Gara-gara Shit, Perdana Menteri ketika itu Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad mula meraba-raba dalam gelap untuk mencari ayat al-Quran yang menunjukkan Tuhan itu mencarut.
Biarpun Shahnon dikecam hebat gara-gara Shit, tetapi suatu hal atau hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah kehadiran watak Wirawan dalam novel Shit itu adalah respon atas tindakan memecat Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan secara zalim dan menjijikkan.
Ertinya, 'kesalahan dan kesilapan' (jika mahu ayat ini digunakan dan dikekalkan sampai bila-bila) Shit itu berpunca daripada tindakan penguasa yang melakukan kesalahan dan kesilapan yang menjijikkan sebagai yang tergambar dalam novel itu, walaupun media propaganda Zam berusaha keras menjatuhkan reputasi dan mencalarkan imej Shahnon.
Sehubungan itu, salah seorang peserta, Razali Endun dalam seminar itu telah bangkit mengesyorkan supaya Shit kembali diangkat sebagai suatu karya penting dalam realiti politik kini yang serba mencabar.
"Bukankah ini suatu masa yang sesuai untuk kembali meneliti pengalaman politik negara dan menoleh peristiwa lalu dalam novel ini?" kata Razali meminta jawapan para panelis.
Aliran kiri
Keringnya bahan sastera aliran kiri di pasaran yang bersifat menolak kezaliman penguasa dan penjajahan adalah antara faktor yang menyumbang ke arah hal kelumpuhan kreativiti massa dalam membangkitkan upaya merakyatkan kesedaran reformasi pelbagai bangsa.
Seorang pengkritik sastera Dr Hashim Ismail dalam pembentangannya tatkala menilai kesan pasca kolonial yang tertuang lewat karya sasterawan ini, menyimpulkan bahawa pada diri Shahnon itu telah terhimpun padanya nilai seorang pejuang demokrasi.
"Bagi saya sasterawan Shahnon adalah pengamal demokrasi. Jika tidak, tidak terhasillah Shit. Itulah contoh demokrasi yang diamalkan oleh beliau. Seperti yang kita tahu, antara ahli politik dan penulis, siapakah yang lebih demokrasi?"
"Pramoedya Ananta Toer di Indonesia, dikurung di penjara. Walaupun karyanya tersekat dalam negaranya, tapi ia mendapat sambutan di luar negara, tidak di Indonesia," jelasnya yang seperti memujuk khalayak pendengar ke arah mempromosikan pandangan bahawa kaum penulis lebih demokratik berbanding penguasa.
Hujah seperti ini adalah antara subjek yang lazimnya menjadi bahan pemikiran kelompok pemikir. Mahathir contohnya menyebutkan wartawan kurang layak bercakap soal rakyat kerana kelompok itu tidak diangkat sebagai mewakili rakyat melalui pilihan raya.
Sebaliknya, watak-watak pejuang bangsa Tun Syed Nasir dalam suatu ucapannya pernah menyebut bahawa kaum penulis itulah yang telah banyak memainkan peranan penting di dalam mengangkat darjat bangsa. Setelah era penjajahan barulah ahli politik menuai hasil daripada perjuangan kaum penulis yang lebih awal daripada mereka itu.
Maulana Muhammad Iqbal pula menyimpulkan melalui syairnya, bahawa segala bangsa itu lahir melalui tangan para penyair, tetapi bangsa-bangsa itu boleh terus hidup dan mati bergantung kepada politikus. Pendek kata, golongan pemikir terawal adalah pembangun bangsa. Selepas itu, tergantung kepada politikuslah yang akan terus membangunkan atau meruntuhkan pembinaan sebuah negara bangsa.
"Sepanjang masa kita berbincang mengenai pasca kolonial, hal ini boleh membelenggu pemikiran kita.
"Apabila membincang tajuk ini, hanya dua sikap saja dapat diambil, sama ada membenci atau agungkan penjajah. Kita akan terdorong untuk berfikir sebagai mangsa penjajahan, berfikir sebagai masyarakat hamba.
"Antara watak yang dihidupkan di dalam novel Shahnon ialah Luqman yang menyatukan bantahan Melayu ke atas Malayan Union. Luqman adalah Dato' Onn. Watak itu ditonjol bagaimana beliau berjaya menyatukan orang Melayu pelbagai ragam untuk menentang penjajah. Inilah yang dikutip lalu dijadikan bahan melalui novelnya," kata Dr. Hashim
Zaman inilah, menurut beliau, orang-orang Melayu berada lama dalam penjajahan. Imej dan watak yang degil dalam kalangan Melayu ini susah untuk disatukan.
Demonstrasi budaya Umno
"Shahnon telah berjaya menunjukkan bagaimana watak Luqman yang saya lihat sebagai Dato' Onn ini berusaha keras dalam mempengaruhi Pok Nik di Kelantan, serta Daud di Terengganu dan lain-lain untuk berdemonstrasi menentang British.
"Tetapi, sekarang ada suara yang menyatakan demonstrasi bukannya sebahagian daripada budaya kita. Walhal inilah budaya Umno yang menyebabkan British akhirnya keluar dari Malaya dan kita akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan," tambah beliau lagi.
Menurut catatan sejarah, Tunku bersama rombongannya setelah ketika berjaya mendapat kata putus daripada British di London, telah pulang menuju ke Bandar Hilir, Melaka yang mana telah berhimpun segala rakyat secara aman demi meraikan kejayaan itu.
Kembali kepada persoalan asal, siapakah yang lebih demokratik? Penulis atau politikus? Nampaknya, Shahnon lebih demokratik berbanding ahli politik. Jiwa kepengarangannya dalam transisi masa pembikinan Shit itu cuba dijelmakan dalam penglibatannya di dalam PAS, gerakan politik untuk menegakkan sendi demokrasi.
Sebenarnya, sebelum itu Shahnon bermodalkan jiwa Islamnya, telah berjinak-jinak pula dengan jemaah al-Arqam di bawah teraju Ustaz Ashaari. Ketika itu beliau berkhidmat di USM di mana dalam era 1980-an, pengaruh al-Arqam amat kuat di universiti berkenaan.
Sehubungan itu, Dr Sohami Abdul Aziz ketika beliau menyentuh pemikiran Shahnon dan pembabitannya dalam kerjaya politik dan gerakan demokrasi telah merujuk autobiografi Detik-Detik Diri Di Daerah Daif dan Perjalananku Sejauh Ini, Sebuah Autobiografi.
"Nyata al-Arqam memberi kesan kepada pembentukan personalitinya yang cenderung kepada Islam. Dan kecenderungannya kepada Islam dapat dikonkritkan lagi dengan melihat kepada penglibatannya dalam politik Islam. Beliau telah memilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Beliau mendapati tujuan jemaah PAS ada persamaan dengan al-Arqam iaitu berjuang atas landasan Islam.
"Kepimpinan ulamak yang menerajui PAS telah juga menarik perhatian Shahnon. Jika Ustaz Ashaari menjadi daya penarik di dalam al-Arqam, maka Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ustaz Fadhil Nor menjadi daya tarikan kepada Shahnon untuk menyertai PAS.
Satu penggal
"Penyertaannya dalam PAS telah menjadikan beliau menjadi wakil rakyat Sik, Kedah. Namun, usia sebagai wakil rakyat di Parlimen tidak lama, iaitu sekadar satu penggal. Beliau tidak tertarik untuk terus menjadi wakil rakyat kerana dunia politik bukan dunianya yang sebenar," kata Dr Sohaimi.
Gelaran Yang Berhormat itu, menurut Dr Sohaimi, sangat berat dan Shahnon tidak begitu selesa kerana begitu banyak kepalsuan yang ditemui.
"Bagi Shahnon jiwanya adalah jiwa pengarang dan bukan politikus. Kemenangan dalam pilihan raya itu dan kemudian diangkat menjadi seorang wakil rakyat daripada PAS pada 1999 tidak membawa banyak erti kepada kehidupannya," katanya merumuskan pendirian politik Shahnon, sama ada beliau cenderung ke arah jiwa kepengarangan atau kepartian.
Bagaimanapun, jasa Shahnon dalam gerakan demokrasi untuk tempoh pasca kolonial dan merdeka terbentang sebagai hakikat yang tak boleh dinafikan. Shahnon telah cuba bergiat menapak di daerah persuratan dan siasah mengikut kesesuaian dan perkembangan zaman.
Shit adalah respon ke atas pendirian Umno-BN yang telah bertindak memecat Anwar dari sebarang jawatan kerajaan dan parti dan beliau telah men cuba sedaya upaya membentuk peru bahan sedaya mungkin melalui kegiatan politik, lalu kembali ke akar perjuangannya melalui kegiatan persuratan
No comments:
Post a Comment