Friday, November 16, 2007

'Pilihan raya semakin hampir'

Oleh Misiah Taib

SPR jangka selepas selesai sesi taklimat pegawai pengurus di seluruh negara

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka Pilihan Raya Umum ke-12 akan diadakan seawal-awalnya selepas sesi taklimat SPR di semua negeri berakhir satu bulan setengah lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata sesi taklimat untuk pegawai pengurus, penolong pengurus dan pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PPKPR) itu bermula di negeri ini semalam.

Beliau berkata, sesi taklimat di setiap negeri itu dijangka mengambil masa satu setengah bulan dan selepas itu pilihan raya mungkin diadakan.

Sambil menjelaskan bahawa bahang pilihan raya semakin hampir, beliau mengingatkan semua pihak supaya membuat persiapan mulai sekarang.

"Saya tak boleh nak bohong... saya tahu bila pilihan raya akan datang. Saya perlu adil kepada semua pihak, saya dah beri isyarat yang mencukupi... kalau SPR dah bersiap sedia macam sekarang, pihak yang berminat (menyertai pilihan raya) kena bersedia juga, kalau tidak akan ketinggalan.

"Ia bukan pilihan raya mengejut, sudah banyak isyarat dan amaran diberi supaya bersiap sedia. Saya beri jaminan bahawa pilihan raya kali ini akan dijalankan secara adil," katanya pada sidang media selepas merasmikan Taklimat Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan PPKPR Pilihan Raya Umum ke-12 di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohamed Noor; Timbalan Setiausaha, Noordin Che Ngah; dan Pengarah Pilihan Raya Negeri, Dzulkifli Ab Rahman.

Beliau berkata, majlis taklimat di Melaka itu adalah yang pertama untuk Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan kebanyakannya pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, selain pegawai pendidikan daerah, jurutera daerah dan pegawai pertanian.

"Kebanyakannya adalah kakitangan awam kerana lebih mudah melatih mereka, selain mereka mempunyai organisasi besar yang boleh membantu melaksanakan tugas diamanahkan.

"Mereka yang dilantik dilarang sama sekali bersikap memihak, perlu adil dan saksama kepada semua pihak yang bertanding, sentiasa berkomunikasi dengan SPR serta tidak bertindak menolak sebarang kertas pencalonan kecuali selepas merujuk kepada SPR.

"Inilah sistem yang kita pakai selama ini dah 11 pilihan raya dan kita berjaya menjalankan pilihan raya dengan baik, telus, adil dan bebas," katanya.

Abdul Rashid juga membayangkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi SPR yang akan tamat akhir bulan depan akan dilanjutkan sehingga pilihan raya.

"Mungkin tempoh saya akan dilanjutkan untuk habiskan pilihan raya kali ini saja... tak adil nak serah tugas ini pada muka baru ketika pilihan raya semakin hampir. Bukan saya nak sangat terus duduk di sini, saya lama dah nak pergi, tapi demi untuk negara, saya teruskan khidmat saya," katanya.

No comments: