Tue | Oct 23, 07 | 7:35:55 am MYT
KUALA TERENGGANU, 23 Okt (Hrkh) - PAS menyifatkan Umno Terengganu dalam keadaan terdesak dengan membuat laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali kerana didakwa melemparkan fitnah terhadap Umno berhubung insiden 8 September di Batu Buruk, semalam.
"Sebenarnya Umno terdesak dan sebab itu dia membuat laporan polis itu. Siapa yang makan cili dia yang akan terasa pedas," kata Dato' Mustafa Ali di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, hari ini.
Menurutnya, jika kerana fitnah Umno telah melakukan fitnah terhadap PAS dengan menuduh PAS membakar bendera tetapi PAS tidak membuat laporan polis.
Ini kerana, katanya PAS tidak buat sebagaimana yang didakwa itu dan tidak rasa bersalah.
"Jadi dia (Umno) buat itu untuk menghilangkan rasa bersalah dia (Umno) tentang apa yang mereka lakukan berkait dengan peristiwa 8 September di Batu Buruk," ujarnya.
Menurutnya, terdapat dua sebab laporan itu terpaksa dibuat pertama kerana usaha yang dilakukan selama ini dengan memanggil rakyat ke Wisma Darul Iman serta saluran penerangan yang dibuat bagi menerangkan bahawa yang melakukan kerja itu adalah PAS tidak dipercayai oleh rakyat.
Sebab itu, katanya maklumat yang diterima dari orang Umno sendiri telah mendesak pemimpin mereka bagi membuat laporan polis.
Menurut maklumat itu, kata beliau jika Umno rasa tidak bersalah perlu membuat laporan polis sebagai tanda Umno serius untuk mengambil tindakan terhadap PAS.
"Orang Umno sendiri yang ragu-ragu terhadap penjelasan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin mereka," ujarnya.
Dato' Mustafa berkata rakyat umumnya percaya dengan penjelasan yang dibuat oleh PAS dan orang Umno sendiri keliru.
Menurut beliau apa yang diterangkan oleh PAS rakyat percaya dan apa yang diterangkan oleh Umno rakyat tidak mempercayainya.
"Kita (PAS) tidak perlu buat laporan polis sebagaimana yang dilakukan oleh Umno itu kerana terdesak dan rakyat percaya apa yang diterangkan oleh PAS. "Masalah PAS difitnah ini bukan baru tetapi sudah lama. Oleh kerana, kita (PAS) tidak buat apa perlu kita buat laporan polis dan kita akan terus membuat penjelasan tentang perkara ini," jelasnya.
Kelmarin, Timbalan Pengerusi Umno negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Dato' Rosol Wahid telah membuat laporan pois terhadap Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berikutan peristiwa tersebut.
Dato' Mustafa didakwa melemparkan fitnah terhadap parti Umno berhubung tragedi berdarah di Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk, bulan lalu. - mks.
No comments:
Post a Comment