Tuesday, October 23, 2007

Anwar setuju serah salinan sahih klip video Khamis

Oleh: YULPISMAN ASLI

PETALING JAYA 22 Okt. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diperintah supaya menyerahkan salinan klip video yang kononnya merakamkan perbualan telefon seorang peguam kanan mengenai pelantikan hakim kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum Khamis ini.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, keseluruhan rakaman asal klip video itu diperlukan sebagai bukti selain keterangan yang direkodkan daripada beberapa saksi.

Menurutnya, perintah terhadap Anwar itu dikeluarkan di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan telah diserahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Tindakan Khas BPR Putrajaya, Sazali Salbi.

“Kegagalan mengemukakan klip video asal rakaman tersebut boleh menyebabkan Anwar dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29(c) Akta Pencegahan Rasuah dan boleh dihukum di bawah Seksyen 58 akta yang sama, iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Said berkata, pihaknya juga telah merekodkan keterangan Anwar selama hampir tiga jam di pejabatnya di Seksyen 16 di sini bermula pukul 11 pagi hari ini bagi melengkapkan kertas siasatan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan keterangan itu kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

Katanya, BPR akan meneliti klip video terbabit sebelum menghantar kertas siasatan tersebut kepada Peguam Negara.

Sementara itu, Anwar dalam satu sidang akhbar memberitahu, beliau akan menyerahkan salinan sahih mengandungi sebahagian rakaman klip video tersebut dalam bentuk thumb drive bagi membolehkan BPR menentukan kesahihan klip video tersebut.

Beliau yang mendakwa tidak memiliki klip asal video itu berkata, salinan sahih klip itu kini berada di tangan sumber dan ia telah disahkan kesahihannya oleh pakar forensik.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sama ada pakar itu dari dalam atau luar negara.

Anwar juga enggan menyatakan masa dan lokasi yang tepat bagi menyerahkan salinan klip video tersebut atas faktor keselamatan termasuk bimbang komputer ribanya dicuri.

“Saya akan hubungi BPR hanya pada ketika saya peroleh salinan sahih tersebut dan akan serahkan dengan cepat. Ini serius kerana saya tidak mahu orang sabotaj,’’ katanya.

Menurut Anwar, isu klip video itu penting kerana sehingga kini mereka yang terlibat dalam rakaman tersebut masih tidak membuat sebarang kenyataan untuk menafikan penglibatan mereka.

Katanya, keputusan untuk menyerahkan salinan sahih klip video itu adalah untuk mengelakkan pihak berwajib memberi alasan menghentikan siasatan.

Katanya, beliau menghargai kerjasama BPR yang berterusan tetapi melahirkan kegusaran kerajaan menggunakan BPR untuk melambatkan siasatan atau mengalih perhatian orang ramai kepada isu-isu lain.

“Saya juga amat prihatin dengan kebajikan individu atau individu-individu yang telah meminta saya membawa video ini ke perhatian umum.

“Permintaan kami untuk jaminan terhadap keselamatan peribadi mereka dan perlindungan daripada tindakan undang-undang masih lagi belum dijawab. Ini merupakan persoalan yang mesti dijawab sebelum kami mengeluarkan baki rakaman video tersebut,’’ katanya.

No comments: