KUALA LUMPUR 23 Okt. – Seramai 2,500 perwakilan daripada 190 bahagian termasuk barisan kepimpinan parti dijadual menghadiri Perhimpunan Agung UMNO dari 5 hingga 9 November ini.
Setiausaha Kerja UMNO, Brig. Jen. (B) Datuk Husainay Hashim berkata, setiap bahagian akan diwakili oleh 13 perwakilan pada perhimpunan tersebut yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
‘‘Perhimpunan selama lima hari itu akan menyaksikan 190 bahagian menghujahkan usul masing-masing selain bahagian Jelutong yang digantung penyertaannya berpunca dari masalah dalaman,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata, perhimpunan kali ini akan lebih bertumpu kepada hala tuju perjuangan parti 50 tahun akan datang setelah mengecapi kejayaan besar pada setengah abad pertama kemerdekaan negara .
Muhammad berkata, perhimpunan tahun ini dianggap bersejarah kerana akan menjadi rujukan kejayaan masa lampau dengan usaha parti untuk mengekalkannya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad turut akan mengemukakan cadangan penubuhan sebuah sayap baru dalam Barisan Nasional (BN) iaitu Puteri BN pada Perhimpunan Agung UMNO bulan depan.
Noraini berkata, usul tersebut akan dibentangkan kerana pihaknya yakin semua parti komponen BN telah bersedia ke arah itu.
Tambahnya, adalah lebih baik agar sayap belia wanita ini bergerak dalam satu pasukan memandangkan ketika ini, sayap Puteri dan beliawanis bergerak sendiri mengikut parti masing-masing.
No comments:
Post a Comment