Tuesday, October 23, 2007

Keputusan kerajaan BN dipersetujui bersama

SUNGAI SIPUT 22 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, semua keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) dibuat melalui persetujuan bersama antara parti komponen bagi memastikan masyarakat berbilang kaum dapat menikmati pembangunan secara adil.

Perdana Menteri berkata, memandangkan parti-parti komponen BN mewakili semua kaum, sebarang keputusan mestilah dibincang bersama untuk mendapatkan hasil terbaik dan dipersetujui oleh semua menteri Kabinet.

‘‘Semua sedia maklum bahawa parti komponen BN seperti MIC mewakili masyarakat India manakala MCA mewakili penduduk Cina tetapi apa sahaja pembangunan yang dirancang atau masalah yang timbul, ia mestilah dibincangkan bersama dengan parti lain dalam BN.

‘‘Kita sudah menjadi kawan. Jadi semua perkara perlu dibincangkan sebagai kawan tanpa mengambil kira sama ada ia membabitkan masalah sensitif... semuanya boleh dibincang bersama untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Sungai Siput, Taman Tun Sambanthan di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali dan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Sungai Siput, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Kata Perdana Menteri, semangat setiakawan dalam BN telah menjadikan parti yang membentuk kerajaan itu sentiasa memikirkan perasaan semua kaum sebelum membuat sebarang cadangan demi mencapai satu matlamat iaitu untuk kepentingan nasional serta negara.

‘‘Ini adalah satu pendekatan yang diambil untuk menjayakan misi nasional, agar pembangunan dijalankan di negara ini adalah seimbang. Tidak ada kawasan akan ditinggalkan terbiar... semua kawasan berpeluang menikmati pembangunan di bawah BN.

No comments: