Tuesday, October 23, 2007

Anwar akan serah salinan sahih 'Pita Lingam' 25 Oktober ini

Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | Oct 22, 07 | 3:51:44 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmennya terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyerahkan pita rakaman perbualan konspirasi kehakiman antara seorang peguam yang didakwa sebagai, VK Lingam dan seorang Hakim Kanan yang didakwa sebagai Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Bagaimanapun Anwar tidak menjamin samada akan menyerahkan keseluruhan 14 minit atau hanya akan menyerahkan rakaman selama lapan minit sahaja kepada BPR Khamis ini (25 Oktober 2007).

Beliau berkata, serahan itu akan dibuat kepada BPR setelah pihak BPR dilihat bersungguh-sungguh mahukan pita tersebut untuk mengetahui kesahihan pita itu.

Apa yang dikesali Anwar ialah tindakan BPR yang hanya dilihat bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pita itu bagi menyiasat kesahihannya sedangkan isu yang terdapat dalam pita itu iaitu rasuah kehakiman tidakpun disentuh dalam siasatan BOR hari ini.

Anwar berkata demikian ketika mengadakan sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya selepas siasatan selama tiga jam oleh tiga Pegawai BPR dari Putrajaya hari ini.

Turut hadir ialah, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; Azmin Ali; Peguam, Sankara N.Nair dan Bendaharai Agung KeADILan, William JK Leong.

"BPR hari ini merakam sebuah kenyataan saya.Saya maklumkan kepada mereka bahawa klip video 14 minit yang asal bersama dengan sumber yang membawanya kepada saya.Saya memberi jaminan bahawa akan membekalkan salinan sebenar yang mana BPR boleh menentukan kesahihannya pada Khamis ini 25 Oktober,"katanya.

Bagaimanapun selepas habis mengambil kenyataan serta mendapat jaminan dari Anwar, Pegawai BPR menerima arahan untuk mengarahkan Anwar menyerahkan klip video itu termasuk enam minit baki perbulana itu, katanya.

Arahan ini dikeluarkan kepada Anwar meskipun selepas Anwar memaklumkan bahawa salinan asal berada di tangan sumbernya, kata Anwar.

"Adalah lansung tidak munasabah bahawa BPR terus menumpukan perhatian mereka terhadap kesahihan video tersebut sedangkan VK Lingam, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor yang disebut dalam klip itu masih belum disiasat atau memberi kenyataan awam menafikan perbulana itu,"tegasnya.

Anwar juga menerima notis dari BPR 'Perintah Mengemukakan Dokumen (di bawah peruntukan Seksyen 22 (1) (b) yang diserahkan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Tindakan Khas, BPR Putrajaya, Sazali Salbi hari ini.

Dalam notis itu, Anwar diperintahkan agar menyerahkan rakaman pita selama 14 minit dan jika enggan beliau boleh dikenakan tindakan di bawah sekseyn 29 (c) Akta Pencegah Rasuah 1997 dan boleh dikenakan hukuman dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Anwar turut menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh SPR itu hanyalah satu tindakan yang diarah oleh pihak atasan untuk menutup isu sebenar dalam kes Pita Lingam iaitu konspirasi kehakiman dan rasuah yang berlaku.

Justeru Anwar masih konsisten dengan pendiriannya bahawa satu Suruhanjaya Diraja perlu dibentuk bagi menyiasat kes itu dengan semua jaminan keselamatan dan kerahsiaan terhadap sumber perlu diberi.

No comments: