Tue | Oct 02, 07 | 9:50:59 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Demikian antara petikan pendapat Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff dalam wawancaranya bersama Mingguan Malaysia berhubung soal kewajaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menilai semua tuntutan rakyat supaya mewujudkan satu sistem pilihan raya yang telus dan saksama.
Selain itu beliau turut memberi respon persoalan kenapa orang Melayu adalah yang tertinggi tidak mendaftar sebagai pemilih walaupun pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan dan mengikut kajian 1.5 juta yang mendaftar sebahagian besarnya adalah bukan Melayu.
Berikut adalah antara pendapatnya yang boleh dijadikan sandaran dan penilaian oleh rakyat Malaysia betapa SPR perlu melakukan perubahan, demi memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap kewibawaan dan sistem demokrasi pilihan raya negara yang sudah menjangkau 50 tahun.
Mingguan Malaysia: Kembali kepada pengundi Melayu, mungkinkah Melayu di bandar kurang berminat mendaftar disebabkan memprotes sistem yang ada?
DR. MOHAMMAD AGUS: Itu adalah salah satu dari faktornya. Mereka melihat sistem kita tidak meyakinkan. Saya rasa, selepas 50 tahun merdeka, wajar sekali bagi SPR menilai semula tuntutan rakyat supaya diwujudkan sistem pilihan raya yang lebih adil dan saksama. Kedua, profesional Melayu bandar memahami ilmu-ilmu sejagat berkaitan soal keadilan, demokrasi dan kebebasan. Mereka rasa benda itu tiada dalam konteks pilihan raya dan pemerintahan. Keadaan ini barangkali menyebabkan mereka tidak percaya pada pilihan raya dan ini mempengaruhi sikap apati. Saya tidak pasti!
Bagaimana mahu meyakinkan mereka bahawa sistem yang ada ini adalah adil dan telus?
DR. MOHAMMAD AGUS: Terdapat beberapa perkara segera yang perlu diberi perhatian oleh SPR berkaitan dengan tuntutan untuk pilihan raya yang lebih adil dan bebas. Pertama, SPR diminta menggunakan dakwat supaya orang tidak boleh mengundi dua kali. Perkara ini mudah, negara dunia lain pun mengamalkannya. Kedua, SPR diminta menggunakan peti undi lut sinar. Saya kira pada dasarnya SPR bersetuju untuk melaksanakannya tetapi apakah terlaksana hal ini? Ketiga, pemantauan SPR pada perjalanan pilihan raya harus adil kepada semua parti bertanding. Keempat, penggunaan media harus lebih seimbang. Kalau SPR boleh buat beberapa perubahan yang dikira perlu, maka saya fikir keyakinan rakyat yang skeptik tentang perjalanan pilihan raya negara kita akan berubah.
Masalahnya berbalik kepada sistem?
DR. MOHAMMAD AGUS: Sistem kena diubah. Kenapa kita perlu memikirkan soal mendaftar pengundi? Di Barat tidak timbul soal ini. Dengan kecanggihan teknologi, apabila mencapai tahap umur tertentu, automatik mereka didaftar. Jika ini dibuat, barulah kita memberi ruang kepada semua warganegara menjadi pengundi berdaftar. SPR perlu memikirkan baik buruk hal ini.
Adakah pilihan raya kita sekadar hendak menunjukkan adanya proses demokrasi itu?
DR. MOHAMMAD AGUS: Saya merasakan begitu – mahu menunjukkan demokrasi tetapi pelaksanaannya tidak demokratik. Ini boleh dilihat dari proses pilihan raya seperti dinyatakan tadi.
Mungkin pengertian yang difahami demokrasi itu hanyalah pangkah, bukan proses ke arah itu?
DR. MOHAMMAD AGUS: Ini satu tanggapan salah. Demokrasi bukan setakat pangkah ‘dacing’ atau ‘bulan’, tetapi ialah satu proses. Proses demokrasi itu perlu betul. Misalnya tempoh kempen dalam pilihan raya – kalau dulu tempoh kempen ialah 30 hari, sekarang lapan hari pun ada. Kalau begitulah singkatnya tempoh kempen, bagaimanakah kita hendak meraikan proses demokrasi setiap lima tahun sekali? Bagi saya, tempoh berkempen paling kurang sebaik-baiknya ialah 15 hari. Inilah yang saya katakan demokrasi itu bukan sekakar pangkah, tetapi lebih dari itu.
Apa cadangan Dr. dalam perkara ini?
DR. MOHAMMAD AGUS: SPR sepatutnya telah lama berubah, mereka perlu menggunakan satu pendekatan lain. Fungsi SPR sekarang ialah mendaftar pengundi, menyemak daftar pemilih dan menguruskan proses pilihan raya. Daftar pengundi ini tidak perlu lagi kerana setiap warganegara mencapai umur 21 tahun, sepatutnya menjadi pengundi automatik.
Tetapi jika tiada sambutan semasa hari pengundian, bukankah itu juga tidak bermakna?
DR. MOHAMMAD AGUS: Pendaftaran secara automatik ialah mereka mendaftar sebagai pengundi. Ia boleh menghapuskan isu pengundi hantu. SPR juga kena mengubah sistem – tidak perlu lagi undi pos. Soal tidak pergi mengundi adalah hipotetikal sebab sekarang ini kita berkempen di dua peringkat – satu suruh mendaftar sebagai pengundi dan satu lagi ialah keluar mengundi. Kalau kita hapuskan soal pendaftaran, kita hanya perlu berkempen di satu peringkat sahaja, ini menjimatkan kos. Saya harap SPR dapat melakukan tiga perkara ini iaitu mengundi menggunakan cap jari, menilai kembali undi pos dan pendaftaran secara automatik.
Jika SPR melakukan tiga perkara ini, adakah ia benar-benar dapat menarik minat golongan profesional ini menjadi warganegara yang baik?
DR. MOHAMMAD AGUS: Saya yakin dapat kerana bila kita telus, kita akan melihat politik itu ada persaingan. Apabila ada persaingan, politik akan menjadi meriah dan bila suasana ini muncul maka ramai orang akan keluar mengundi. - mks.
No comments:
Post a Comment