Tue | Oct 02, 07 | 10:25:12 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Pembantu Khas kepada Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (Anwar Ibrahim), Sim Tze Tzin, telah dihubungi pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membantu siasatan dalam kes video rakaman perbualan peguam V.K Lingam dengan seorang hakim kanan.
Sim Tze Tzin diminta untuk hadir diri ke pejabat BPR yang bertempat di Putrajaya hari ini (2 Oktober) pada jam 10 pagi.
"Yang akan hadir bersama Sim adalah William Leong, seorang peguam terkenal dalam negara yang kini dilantik menjadi Bendahari Agung KeADILan,"kata sumber Biro Penerangan KeADILan.
Sebelum ini, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah yang juga seorang peguam hak asasi manusia telah diminta untuk hadir diri di BPR pada Khamis lepas untuk bantu siasat video rakaman perbualan peguam V.K Lingam.
Ini adalah berikutan laporan aduan berkenaan video rakaman tersebut yang telah dibuat oleh Sivarasa Rasiah dua minggu lalu di pejabat BPR Wilayah Persekutuan, katanya.
Sementara mengulas mengenai pendedahan klip video konspirasi kehakiman, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata nama Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah disebut dengan jelas dalam bahagian kedua klip video 'mengatur pelantikan hakim' yang akan didedahkan 'bila tiba masanya'.
Walaupun beliau tidak menjelaskan dalam kontek apa nama Ahmad Fairuz disebut dalam bahagian kedua klip video tersebut, tetapi beliau menegaskan bahawa pendedahan itu akan mengesahkan bahawa orang yang bercakap dalam perbualan telefon itu adalah Ketua Hakim Negara.
Bercakap dalam satu forum di sebuah hotel di Kuala Lumpur 29 September lalu, Anwar berkata, beberapa orang lagi personaliti turut ditunjukkan dalam bahagian kedua klip video tersebut.
Tambah Anwar, bahagian kedua klip video itu mendedahkan, nama Ahmad Fairuz telah disebut oleh peguam Datuk VK Lingam (peguam yang berbual melalui telefon dalam klip video berkenaan).
Anwar juga berkata, tidak tepat untuk menyifatkan klip video selama lapan minit daripada 14 minit yang didedahkannya sebelum ini sebagai versi yang telah disunting, sebaliknya ia hanya diasingkan kepada dua bahagian untuk melindungi identiti sumbernya.
Ditanya mengenai pendedahan klip video kedua mantan Timbalan Perdana Menteri itu berkata, baki klip video itu akan didedahkan 'bila tiba masanya'.
Klip video yang didedahkan oleh Anwar pada 19 September lalu, menunjukkan Lingam sedang berbual melalui telefon mengenai pelantikan hakim, didakwa dengan Ahmad Fairuz, yang merupakan Hakim Besar Malaya sewaktu rakaman itu dibuat pada 2002.
Pendedahan klip video itu telah mencetuskan desakan oleh pelbagai pihak, termasuk Majlis Peguam Malaysia, supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Berikutan itu, kerajaan telah mengumumkan penubuhan sebuah panel bebas tiga anggota untuk menentukan kesahihan klip video tersebut.
Menurut Anwar lagi, sumber klip video tersebut 'bersedia' untuk tampil ke hadapan jika diberi imuniti dan perlindungan secukupnya melalui penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat perkara tersebut
No comments:
Post a Comment