Wednesday, October 03, 2007

Nik Aziz tetap bertanding pilihan raya umum ke-12

Maslan Yusoh
Tue | Oct 02, 07 | 6:21:02 pm MYT

KOTA BHARU, 2 Okt (Hrkh) - Teka teki pilihan raya umum ke-12 tetap menarik perhatian orang ramai, biar pun pilihan raya kampus yang berlangsung hari ini tercemar dengan banyak insiden memalukan.

Nampaknya kemungkinan pilihan raya umum kedua di bawah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mulai kendur untuk diadakan tahun ini.

Biar apa pun PAS tetap bermati-matian mempertahankan Kelantan memandangkan negeri ini merupakan kubu terakhir gerakan Islam di negara ini.

Apa yang menarik cabaran PAS Kelantan pada pilihan raya ke-12 tetap diketuai Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi memastikan pihak lawan gagal lagi menerobos masuk ke Kota Darulnaim.

Ketika ditemui di pejabatnya semalam katanya beliau tetap akan bertanding pada pilihan raya umum terdekat ini.

"Saya sudah sebut akan bertanding. Dan suratkhabar pun sudah menyiarkan," katanya sambil tersenyum biar pun nampak keletihan akibat banyak program yang dihadirinya.

Ditanya kemungkinan ditampilkan calon-calon baru mewakili parti itu katanya, di semua kawasan yang PAS tidak menang lagi akan diletak calon baru.

Mengenai Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri hujung bulan ini katanya, beliau begitu sedih kerana gas yang terdapat di perairan Kelantan tidak didaratkan di negeri ini.

"Saya sedih mengapa gas dari JDA di perairan Kelantan didaratkan di Thailand. Tiada sebab langsung. Pendaratan di Thailand kalau dibuat juga tidak berkat kerana harta kita dibawa ke tempat lain," katanya.

No comments: