Thursday, May 25, 2006

PM arah BN Sarawak kaji kelemahan

BERITA HARIAN

TOKYO: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Barisan Nasional (BN) Sarawak menjalankan kajian menyeluruh terhadap prestasi parti itu dalam pilihan raya negeri, Sabtu lalu, untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatannya untuk diperbaiki pada masa depan.

“Kajian itu boleh memberi petunjuk untuk mengatasi kelemahan. Jika ada kelemahan atau kesilapan, ia perlu dibaik dan diatasi. Jika ada kekuatan atau kebaikan, cari sebab-sebab kenapa mereka (pengundi) beri sokongan (kepada BN).

“Ini akan bantu mendapat kejayaan yang lebih baik pada masa depan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengakuan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) bahawa kesilapan memilih calon antara faktor kekalahan calon parti itu di lapan kerusi pada pilihan raya itu.

Setiausaha Organisasi SUPP, Datuk Peter Chin Fah Kui, dipetik sebagai berkata parti menyedari calon terbabit tidak digemari pihak tertentu yang mempunyai calon tersendiri untuk diketengahkan.

Pada pilihan raya negeri kali ini, SUPP yang juga parti komponen BN berteraskan kaum Cina, diperuntukkan sebanyak 19 kerusi. Bagaimanapun, ia tewas di Kota Sentosa, Batu Lintang, Pending, Bukit Assek dan Meradong kepada DAP; Padungan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR); Engkelili di tangan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan gagal merampas kerusi Kidurong.

Secara keseluruhannya, BN Sarawak memenangi 62 kerusi, manakala pembangkang menang sembilan kerusi, sesuatu yang jarang berlaku di Sarawak.

Abdullah yang juga Pengerusi BN mengingatkan SUPP mengambil iktibar daripada kekalahan besar dialami parti itu dan tidak mengulanginya pada pilihan raya datang.

“Kalau dia (SUPP) tahu kesilapan, harap jangan lakukan kesilapan yang sama. Apa pun, Alhamdulillah, BN dapat (menang) lebih dua pertiga,” katanya yang turut memandang berat kemerosotan undi popular yang diperoleh BN.

Menyentuh isu lain, Abdullah kesal dengan sikap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang hanya bertindak ke atas sebuah syarikat pengeluar jongkong perak di negeri itu kerana beroperasi tanpa lesen dan melupus sisa aluminium secara haram, selepas 10 tahun kesalahan itu dilakukan.

Sambil menyifatkan tindakan JAS itu sebagai satu pengabaian tugas yang tidak sepatutnya berlaku, Perdana Menteri berkata, perkara sedemikian tidak boleh dibenarkan berlaku kerana setiap aduan rakyat wajar diberi perhatian dan diambil tindakan segera.

“Tak eloklah, macam mana boleh jadi begitu. Ini satu pengabaian tugas yang tidak sepatutnya berlaku. Macam mana dah tahu masalah itu 10 tahun dulu, sekarang baru nak ambil tindakan. Ini yang rakyat marah kepada kita,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai JAS Selangor yang hanya bertindak selepas 10 tahun ke atas sebuah syarikat pengeluar jongkong perak di Sungai Janggut kerana beroperasi tanpa lesen dan melupus sisa aluminium secara haram.

No comments: