Thursday, May 25, 2006

SUPP Akan Bangunkan Semula Kekuatan Parti, Kata Dr Chan

BERNAMA

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Bangunkan semula kekuatan dan strategi parti, itulah keutamaan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam masa terdekat ini, kata Presidennya Tan Sri Dr George Chan hari Khamis.

Ekoran prestasi buruk pada pilihan raya negeri 20 Mei lepas, yang menyaksikan SUPP hilang lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginnya, beliau berkata parti itu akan menjalankan bedah siasat serta-merta bagi mengenal pasti faktor-faktor kekalahannya.

"Yang penting sekarang ialah pastikan semua anggota parti bersatu. Bangunkan kekuatan parti dulu kerana saya tidak mahu sesiapapun mengatakan SUPP, yang merupakan parti yang sangat tua (dalam komponen Barisan Nasional), tidak boleh terus bertahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai Inisiatif-inisiatif Keselamatan Siber di Malaysia, di sini.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata beliau akan menghantar laporan mengenai kekalahan parti itu kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, secepat mungkin.

Menurutnya beliau juga telah mengarahkan semua cawangan SUPP menghantar laporan yang sama membabitkan kawasan masing-masing dalam tempoh sebulan.

Pada pilihan raya negeri itu, SUPP tewas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Padungan manakala kepada DAP, masing-masing di Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Engkilili, Meradong, Bukit Assek selain gagal menewaskan DAP di Kidurong.

BN memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini. Pembangkang menang sembilan kerusi dengan DAP memperoleh enam kerusi manakala PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Bebas, masing-masing menang satu kerusi.

Sambil menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyalahkan sesiapa atas kekalahan paling buruk dalam pilihan raya, Dr Chan berkata SUPP perlu mengenal pasti punca yang menyumbang kepada kekalahan mereka.

Menurutnya beliau juga akan meminta penilai bebas mengkaji kekalahan parti itu.

Mengenai laporan berita bahawa para pemimpin SUPP, termasuk beliau menawarkan diri untuk meletak jawatan, Dr Chan berkata: "Kita bukan parti yang mudah menyerah kalah dan kita tidak putus asa terhadap rakyat. Rakyat telah bersuara lantang dan jelas. Kita bertanggungjawab sepenuhnya dan kita tidak mahu menyalahkan sesiapa kecuali diri sendiri."

No comments: