Tuesday, September 18, 2007

Rusuhan: 37 lagi dicari

UTUSAN MALAYSIA

Oleh RAJMAH HASAN

KUALA TERENGGANU 17 Sept. – Polis hari ini mengedarkan gambar 37 lagi lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes rusuhan di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Burok di sini malam 8 September lalu.

Kesemua lelaki yang berusia antara 20-an hingga 60-an itu dicari kerana dipercayai dapat membantu polis melengkapkan kertas siasatan berhubung rusuhan pada hari kejadian mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, kesemua mereka yang dipercayai rakyat tempatan telah dikenal pasti menerusi rakaman video serta gambar yang diambil pada malam kejadian.

‘‘Polis meminta individu terbabit tampil di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes rusuhan itu di bawah Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

‘‘Kerjasama mereka diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes rusuhan itu yang kini sudah 70 peratus siap sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,’’ kata Khairi pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata, pengedaran gambar itu menjadikan keseluruhan 46 lelaki dikehendaki polis setakat ini termasuk sembilan individu yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kejadian membakar Jalur Gemilang dan merosakkan harta benda awam pada hari rusuhan.

‘‘Sembilan keping gambar itu telah pun diedarkan kepada media pada Jumaat lalu tetapi hanya seorang daripada mereka iaitu pelajar sebuah sekolah menengah agama swasta di Kampung Binjai Bongkok, Marang menyerah diri ke IPD Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.15 pagi semalam bagi membantu siasatan kes itu.

‘‘Bagaimanapun, pelajar berusia 16 tahun berasal dari Kampung Tok Dir dekat sini itu telah dilepaskan kira-kira pukul 10 pagi ini dengan jaminan polis selepas polis berpuas hati dengan keterangannya,’’ katanya.

Dalam pada itu, Khairi berkata, polis juga telah menerima banyak maklumat daripada orang awam yang mengetahui butiran lapan lagi individu terbabit.

Katanya, gerakan mencari mereka di rumah masing-masing akan dilakukan dalam tempoh terdekat jika mereka gagal menyerah diri.

No comments: