Tuesday, September 18, 2007

Rusuhan: 37 lagi dicari bantu siasatan

BERITA HARIAN



Oleh Shaarani Ismail dan Hamid Salleh


DIKEHENDAKI: Gambar terbaru 37 individu dikeluarkan polis Terengganu, semalam yang disyaki terbabit dalam rusuhan di Jalan Sultan Mahmud pada malam 8 September lalu sehingga menyebabkan empat anggota polis parah. Mereka berusia antara 20 dan 60 tahun diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu atau balai polis untuk membantu siasatan.

Polis masih tunggu lapan suspek beri keterangan berhubung kejadian membakar Jalur Gemilang

KUALA TERENGGANU: Polis mengedarkan 37 lagi gambar lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan penyokong pembangkang di Jalan Sultan Mahmud di sini, yang turut menyebabkan empat anggota polis cedera pada malam 8 September lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I, Superintendan Khairi Ahrasa, berkata semua lelaki terbabit diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Mereka diminta hadir ke Balai Polis atau IPD bagi membolehkan kenyataan mereka direkodkan untuk membantu siasatan kes ini. Mereka diminta memberi kerjasama sebaiknya supaya siasatan dapat berjalan lancar dan dapat dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.


Khairi berkata, semua lelaki itu berumur di antara 20 dan 60 tahun dan dipercayai warga Terengganu.

Katanya, dengan pendedahan gambar 37 lelaki terbabit, ia diharap dapat membantu melengkapkan kertas siasatan berhubung kes rusuhan yang disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis yang kini 70 peratus siap.

"Jika mereka tampil beri keterangan, polis yakin dapat lengkapkan siasatan kes secepat mungkin," katanya.



Sabtu lalu, polis menyiarkan gambar sembilan lelaki bagi membantu menyelesaikan siasatan berhubung kes membakar Jalur Gemilang yang disiasat mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan.

Mengenai perkembangan pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah agama swasta di Marang yang tampil menyerah diri selepas gambarnya disiarkan Sabtu lalu, Khairi berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada pelajar terbabit dan dia kini dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan percakapan yang direkodkan, polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan dan dia dibebaskan kira-kira jam 10 pagi semalam selepas hampir 24 jam disoal siasat.

Mengenai siasatan kes pembakaran Jalur Gemilang, Khairi berkata, polis masih menunggu kelapan-lapan individu yang gambar mereka disiarkan untuk memberi keterangan.

"Polis mempunyai satu lagi gambar terbaru individu terbabit dalam insiden itu dan akan menyiarkannya melalui media dalam masa terdekat.

"Polis memberi peluang kepada individu terbabit tampil membantu siasatan dan jika mereka gagal polis pergi ke rumah mereka," katanya.

Sementara itu, Khairi berkata, hanya seorang lagi perusuh berusia 38 tahun yang terkena tembakan dalam rusuhan masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, mangsa dilaporkan stabil selepas pembedahan mengeluarkan peluru pada 13 September lalu.

No comments: