Wednesday, October 24, 2007

Kes klip video: Lebih 10 orang disoal siasat

PUTRAJAYA 23 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah menyoal siasat lebih 10 individu termasuk mereka yang disebut namanya dalam klip video kononnya merakamkan perbualan telefon seorang peguam kanan mengenai pelantikan hakim.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan enggan mengesahkan sama ada ia termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

“Kita telah soal siasat ramai orang termasuk mereka yang disebut dalam klip video, semua nama kita panggil dan semua yang diperlukan dalam siasatan, kita akan panggil.

“Tetapi kita tidak boleh tentukan (nama-nama tersebut) berdasarkan apa yang kita peroleh sekarang,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai perkembangan siasatan klip video berkenaan selepas BPR merekodkan keterangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (BPR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selama hampir tiga jam di pejabatnya di Seksyen 16, Petaling Jaya semalam bagi melengkapkan kertas siasatan.

Laporan Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Ahmad Said bahawa Anwar diperintah supaya menyerahkan salinan klip video yang kononnya merakamkan perbualan telefon seorang peguam kanan mengenai pelantikan hakim kepada BPR sebelum Khamis ini.

Perintah terhadap Anwar itu dikeluarkan di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan telah diserahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Tindakan Khas BPR Putrajaya, Sazali Salbi.

Kegagalan mengemukakan klip video asal rakaman tersebut boleh menyebabkan Anwar dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29(c) Akta Pencegahan Rasuah dan boleh dihukum di bawah Seksyen 58 akta yang sama, iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Ahmad Said berkata, pihaknya menunggu Anwar menyerahkan salinan sebenar klip video yang mempunyai jangka masa selama 14 minit 16 saat kepada BPR sehingga Khamis ini.

“Kalau tidak berbuat demikian, kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana apa yang dia beri kepada kita bukan versi penuh rakaman itu, daripada 14 minit, dia beri lapan minit dan ia telah diganggu, kita tidak boleh bergantung kepada salinan, kita mesti teliti klip video yang asal.

“Walaupun dalam salinan itu kita tengok tetapi kita hendak periksa kesahihan kerana mahkamah pun hendak kepada klip video yang asal kalau hendak dibawa ke mahkamah dan kita pun hendak yang asal,'' katanya.

Beliau menegaskan, pihaknya mahu klip video yang asal kerana sebarang tindakan tidak boleh dibuat berasaskan kepada salinan klip video.

Jelas beliau, dengan hanya memiliki salinan rakaman klip video tersebut, BPR tidak dapat menentukan status kesahihannya memandangkan banyak pihak boleh menghasilkan pelbagai jenis klip video.

“Klip video yang telah diserahkan itu tidak mencukupi, kita mahukan versi penuh,” jelasnya.

No comments: