Wed | Oct 24, 07 | 7:24:14 am MYT
Semua mengharapkan pilihan raya umum ke-12 tidak mengulangi kemuraman "tragedi" 21 Mac 2004. PAS sudah lama memperkemaskan diri dan mempersiapkan keupayaan menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan bila-bila masa daripada sekarang.
Memang pilihan raya pertama di bawah kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bukanlah rekod terburuk pembangkang, namun ia pengalaman paling perit dideritai aktivis oposisi, khususnya selepas Terengganu terlepas ke tangan BN.
Dengan imej "cucu ulama", slogan "perang rasuah ke akar umbi", ungkapan "bekerja bersama saya dan bukannya untuk saya", serta "rasa lega terlepas daripada era Dr Mahathir Mohamad", membuatkan majoriti rakyat memberikan ruang selesa buat Abdullah membuktikan janjinya.
Pembangkang pula tidak semantap penampilan terbaik 1999. Banyak kecelaruan timbul dan ini mengelirukan pengundi. Tiada tema besar ditonjolkan untuk menguasai imiginasi rakyat.
Mungkin kehilangan Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden PAS menganggu kelancaran persiapan parti itu untuk berdepan senario baru yang dibentuk pemerintahan Abdullah.
BN sejak lama memanipulasikan faktor 3M, iaitu media, jentera kerajaan dan rasuah politik.
Cuma faktor 1M lagi, Mahathir, tidak berperanan pada 2004. Dalam pilihan raya ke-11 itu, jentera kempen Abdullah berjaya mengeksploitasi media secara lebih berkesan, terutama bagi mempamerkan imej berbeda Perdana Menteri berbanding Mahathir.
Apa pun, dengan hanya menguasai media tetapi tanpa perancangan terbaik untuk memanfaatkannya dalam tempoh singkat berkempen tidak akan mendatangkan impak optimum.
"Budak-budak Abdullah bijak mengambil peluang itu semasa kempen 2004 dan mereka mendapat kesan maksimum untuk melonjakkan imej PM," ulas seorang wartawan politik.
Pembangkang sentiasa merungut media arus perdana tidak menyebelahi mereka. Rintihan itu sepatutnya sudah lama berakhir. Media yang dikawal mutlak BN, selepas Parlimen dibubarkan akan bertindak sebagai jentera kempennya yang paling ke hadapan dan cukup agresif.
Apa pilihan pembangkang? Harakah dipancung kekerapannya, daripada dua kali seminggu kepada 15 hari sekali. Edarannya pula kian dibataskan. Fungsinya sebagai akhbar dimusnahkan.
Manakala Suara Keadilan, juga terbit dua minggu sekali terhad jumlah cetakan dan jaringan pengedarannya.
Namakan apa jua masalah yang timbul, jalan keluar mesti ditemui; maklumat dan berita mesti pantas bergerak kepada pengundi, tepat pada masanya. Edaran berita sahih itu harus menyeluruh, tidak terfokus kawasan elit tertentu sahaja. Monopoli sumber berita arus perdana wajib dipecahkan segera. Segala karut-marut propaganda BN tidak wajar terus bersarang dalam pemikiran pengundi.
Maka, amat tepat sekali saranan yang dikemukakan Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS baru-baru ini. Tegasnya, PAS akan menyebarkan berita dari internet dan blog secara besar-besaran kepada penduduk luar bandar menjelang pilihan raya untuk membolehkan mereka mengetahui situasi sebenar negara.
"Penggunaan internet dan blog sangat terhad di kawasan luar bandar kerana kemudahan tidak mencukupi dan penduduknya tidak memahami bahasa Inggeris. Blog hanya dibaca Melayu elit yang tinggal di bandar. Jadi berita-berita tersebut, khususnya dalam bahasa Melayu, dicetak seberapa banyak sebelum diedarkan kepada penduduk luar bandar.
"Selama ini media arus perdana mengawal penyebaran berita di kalangan penduduk luar bandar dan penduduk mendapat apa yang ada dalam akhbar itu sahaja. Tugas pembangkang adalah untuk menghantar apa yang ada dalam internet kepada pengundi luar bandar dan jika berjaya, maka runtuhlah penguasaan media arus perdana," katanya.
Husam berkata, penggunaan internet dan blog sebagai medium penyampai maklumat, berkesan kepada penduduk di kawasan bandar. Katanya, ini dapat dilihat dengan kenyataan pemimpin BN bahawa parti itu akan kalah di beberapa kerusi di kawasan bandar kesan daripada penggunaan internet dan blog.
Bagaimanapun pembangkang tidak harus menyandarkan maklumat dan analisis internet semata-mata. Selain perlu menyelaraskan agihan berita alam siber itu secara sistematik dan efesyen, keutamaan perlu difokuskan kepada usaha-usaha mengumpulkan bahan berita secara lebih profesional.
Tidak kurang pentingnya ialah kaedah menapis dan mengedit bahan-bahan berkenaan supaya ia bersifat mesra-pembaca, sahih-tepat, serta berupaya membekalkan pendedahan yang menarik minat awam.
Sayugia diingat, membekalkan maklumat dan analisis berita dalam tempoh sekritikal waktu berkempen yang singkat memerlukan gerak kerja di tahap profesional.
Ia tidak semudah copy-paste dan cetak, tanpa susun-letak yang memukau. Banyak bahan bermutu yang tersimpan dalam laman web dan blog memerlukan kerja-kerja suntingan dan grafik yang teliti, sebelum dapat diedarkan seluasnya.
Segala persiapan bagi melaksanakan kerja berskala besar yang belum pernah dilakukan pembangkang ini mesti diperincikan daripada sekarang. Kadang-kadang dana yang cukup tetapi tanpa perencanaan rapi dan "strategi mengena" boleh membawakekecewaan akhirnya. Ingatlah, kita berdepan jentera kempen BN yang diperlengkapkan dengan segalanya.
Husam turut menjangkakan dalam pilihan raya umum akan datang, rakyat akan membuat undi protes terhadap kerajaan pimpinan Abdullah. Katanya, mood rakyat yang tidak suka kepada dasar-dasar kerajaan, melintasi semua kaum dan ia berlaku di seluruh negara.
"Ditambah pelbagai isu terkini, BN akan mengalami nasib pilihan raya umum 1969. Perikatan menang besar pada 1964 dan tewas teruk di beberapa negeri dalam pilihan raya berikutnya," katanya.
Husam berkata, ia berdasarkan maklum balas yang PAS perolehi daripada pelbagai program bertemu rakyat di seluruh negara. Tambahnya, PAS akan menentang BN di seluruh negara dan bukan hanya bertumpu di Kelantan.
Katanya, ini bermaka PAS akan berkerja kuat sama seperti yang mereka lakukan di Kelantan apabila parti itu bertanding negeri-negeri lain, walaupun bukan di kawasan kubu kuatnya. - mks.
No comments:
Post a Comment