Wed | Oct 24, 07 | 7:47:27 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Hrkh) - Kalangan aktivis dan pimpinan mengharapkan agar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim akan bersama-sama pimpinan pembangkang serta NGO lain dalam mengepalai himpunan rakyat yang akan diadakan pada 10 November ini.
"Harap pemimpin semua parti politik, KeADILan, PAS dan NGO bersama dengan rakyat dan ahli mengembeleng tenaga jayakan himpunan rakyat,"tegas Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
Setakat ini Mahfuz berkata, beliau tidak mendengar sebarang persoalan mengenai kehadiran Anwar dalam himpunan itu dan menyatakan harapan agar Anwar turut hadir.
"Kita tidak mahu pemimpin dilihat sebagai oputurnist sahaja dan mesti memperlihatkan keyakinan kepada rakyat untuk mencapai objektif dan matlamat.Jangan nak hasil tanpa ushaha,"ujarnya.
Sementara itu mengulas teka-teki kehadiran Anwar dalam himpunan 10 November ini, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua memberi jaminan bahawa Ketua Umumnya itu akan menyertai himpunan itu bersama rakyat.
Ujarnya, dengan Anwar turun bersama rakyat pada 10 November ini, ini menunjukkan bahawa KeADILan dan pimpinan pembangkang prihatin kepada usaha memperbetulkan sistem pilihan raya yang telah rosak.
Beliau juga mengharapkan agar kehadiran Anwar ini dijadikan satu suntikan kepada rakyat kehadapan demi menuntut satu perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan telus.
"Kita sudah tertipu pada tahun 1998 ketika era reformasi dengan sistem pilihan raya yang rosak, ia berulang lagi pada tahun 2004 yang mana sekaligus mengecewakan kita.Kali ini kita mulakan dengan himpunan ini dan menggerakkan suara rakyat supaya kita tidak akan tertipu buat kali ketiga,"tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani pula menyatakan bahawa kehadiran Anwar dalam himpunan itu akan menyuntik demonstran yang akan hadir.
Baginya, kehadiran pemimpin besar seperti Anwar mampu memberi kesan lonjakan gerakan reformasi pilihan raya walaupun arah momentum rakyat setakat ini belum dapat dijangkakan.
"Kita perlu turun padang memobilisasi rakyat turut serta dalam gerakan ini,"ujarnya. - mks
No comments:
Post a Comment