Wednesday, September 19, 2007

Polis minta perusuh serah diri sebelum Jumaat atau ditahan

UTUSAN MALAYSIA

KUALA TERENGGANU 19 Sept. - Polis hari ini memberi amaran kepada perusuh yang sedang diburu sama ada menyerah diri sebelum Jumaat ini atau ditahan di rumah mereka dalam gerakan besar-besaran yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Selepas Jumaat ini, polis akan menyerbu rumah mereka pada bila-bila masa tidak kira siang atau malam kerana kita mempunyai maklumat di mana mereka berada.

“Jadi saya minta mereka yang dikehendaki ini tampil menyerah diri sebelum polis mengambil tindakan,” kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I Negeri Terengganu, Supt Khairi Ahrasa.

Beliau berkata, perusuh sebelum ini telah diberi masa yang mencukupi untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Polis sedang memburu 44 lelaki lagi daripada 46 lelaki yang dikehendaki sebelum ini, bagi membantu siasatan berhubung kes membakar Jalur Gemilang serta rusuhan di Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud di sini pada malam 8 Sept lepas.

Dalam kejadian itu lebih 600 orang dipercayai pengikut parti pembangkang telah bertindak agresif dengan membaling objek termasuk besi, kayu, botol kaca dan bom molotov ke arah polis setelah diarahkan bersurai dari satu majlis perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud.

Khairi berkata, sehingga kini, hanya dua individu yang tampil menyerah diri setelah gambar kesemua individu yang dikehendaki itu disiarkan oleh media massa.

“Seorang peniaga ayam di Pasar Payang yang berumur 50 tahun tampil menyerah diri di IPD Kuala Terengganu pukul 11.20 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, peniaga itu dari Kedai Buluh dekat sini akan disoal siasat berhubung penglibatannya dalam kejadian rusuhan tersebut dan akan dihadap ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman jika perlu.

Ahad lepas, seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah agama swasta di Kampung Binjai Bongkok, Marang turut menyerah diri.

Pelajar berusia 16 tahun itu dari Kampung Tok Dir dekat sini telah dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil daripadanya.

Khairi berkata, sejak gambar individu-individu tersebut disiarkan, polis telah menerima banyak maklumat daripada orang ramai mengenai tempat tinggal serta butiran peribadi mereka yang dikehendaki itu. - Bernama

No comments: