Wednesday, September 19, 2007

Batu Buruk: Umno dan polis terus guna media perbodohkan rakyat

HARAKAHDAILY

Wan Nordin Wan Yaacob

Tue | Sep 18, 07 | 12:23:32 pm MYT

Sejak 'tragedi berdarah' di Batu Buruk, Terengganu 8 September lalu, Umno dan Polis terus menggunakan media pro mereka untuk menghina dan memburuk-burukkan rakyat.


Berasak-asak laporan media mempropagandakan kejadian rusuhan yang bagi mereka didalangi pembangkang.

Kenyataan demi kenyataan dibuat pemimpin tertinggi kerajaan, Umno dan polis hinggalah kepada sekecil-kecil pemimpin hanya untuk meramas isu ceramah anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi menerbitkan rasa benci rakyat kepada pembangkang.

Media eletronik pula cukup biadap dengan mengeluarkan laporan yang sekaligus menjustifikasi kes tersebut walaupun siasatan ke atas kes belum selesai.

Sementara kenyataan pembangkang mengenai dakwaan yang dibuat pihak polis dan Umno sedikitpun tidak dikeluarkan.Malah memorandum aduan Bersih yang diserah kepada Suhakam sedikitpun tidak mendapat perhatian media arus perdana.

Apakah benar mereka agen provokasi?

Terbaru, pihak polis telah mula mengedar dan menayangkan gambar beberapa individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan dalam kes rusuhan dan membakar jalur gemilang di Batu Buruk.

Dalam akhbar utama hari ini, 37 lagi gambar suspek disiarkan dengan khabarnya bahawa mereka ini dikehendaki bagi membantu siasatan rusuhan.

Dalam siaran tersebut terdapat gambar beberapa lelaki dalam lingkungan usia lewat 50 tahun dan cukup malang gambar mereka tersiar ketika umat Islam sedang menghayati Ramadan yang mulia.

Rata-rata gambar yang disiarkan adalah khalayak awam yang mungkin sekali sedang tekun menunggu ceramah.Gambar mereka ini tentulah diambil oleh pegawai cawangan khas (SB) yang kerap kali hadir ke ceramah-ceramah pembangkang untuk mengambil gambar.

Apakah mengikut siasatan polis mereka yang tersiar gambarnya ini benar-benar agen yang melakukan provokasi pada malam ceramah tersebut hingga berlakunya rusuhan?

Melihat kepada gambar yang disiarkan, mereka ini sedikitpun tidak ditunjukkan sedang melakukan aksi provokasi, dan mustahil kamera berteknologi tinggi milik SB tidak dapat merakam gambar orang-orang yang sedang memprovokasi?

Bagi penulis, gambar ini disiarkan 'ikut suka polis' hanya untuk menunjukkan kepada rakyat mereka ada bukti untuk menyatakan bahawa penyokong pembangkang memulakan rusuhan.

Jika benar dakwaan mereka ini yang mungkin sekali memulakan rusuhan, polis perlu menyiarkan gambar mereka ini sedang melakukan aksi tersebut.

Media akan gelapkan gambar suspek kes berat libatkan orang kenamaan

Gambar adalah bukti yang mungkin boleh meyakinkan banyak pihak.Tetapi dalam kes ini gambar mereka ini tentu sekali diambil oleh SB ketika mereka sedang mahu menunggu ceramah diadakan.

Tidak kelihatan sebarang perwatakan mereka untuk memprovokasi. Justeru penyiaran gambar ini adalah satu aib kepada keluarga dan sanak saudara mereka.

Keduanya, akhbar sering kali akan menggelapkan atau mengkaburkan gambar suspek-suspek kes yang lebih berat yang membabitkan orang kenamaan hanya untuk tidak memalukan suspek.

Sedangkan dalam kes ceramah di Batu Buruk, gambar mereka yang mungkin sekali menghadiri ceramah ini disiarkan terus tanpa memikirkan soal aib golongan ini.

Penyiaran gambar ini membawa interpretasi yang 'negatif' kepada mereka di mata masyarakat dan lebih berat lagi bagi masyarakat yang secara buta-tuli menerima bulat-bulat laporan akhbar tersebut tanpa menilai dari sumber lain yang boleh mengibangi laporan itu.

Perlu diingatkan kepada mereka yang gambarnya tersiar, sekiranya mereka ini selepas disoal siasat, gambar mereka tidak akan dikeluarkan lagi untuk tujuan permohonan maaf oleh pihak polis atau akhbar.

Lebih malang lagi, media tidak akan menyiarkan laporan yang menyatakan bahawa individu-individu terbabit didapati tidak bersalah setelah disiasat.

Ini kerana siaran gambar tersebut hanyalah salah satu usaha politik untuk terus memburuk-burukkan pembangkang dan menakutkan rakyat dari menghadiri ceramah umum.

Suka atau tidak sesiapa sahaja yang menghadiri ceramah mungkin sekali gambarnya akan berada dalam lensa kamera jurugambar SB ini. - mks.

No comments: