Wednesday, September 19, 2007

Kelantan janji beri kerjasama jayakan Koridor Timur

UTUSAN MALAYSIA

KOTA BHARU, 18 Sept – Kerajaan PAS Kelantan sedia memberi kerjasama dalam menjayakan Koridor Pantai Timur yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata walaupun Kelantan tidak diajak berunding dalam menjayakan pembangunan negeri itu tetapi kerajaan negeri akan tetap memberi sokongan kepada setiap perkara yang membawa kepada kebaikan kepada penduduk Kelantan.

“Setakat ini kita tidak diberitahu tentang pelaksanaan koridor Pantai Timur, cuma dengar apa yang dicakapkan. Bagaimanapun kita sedia memberi kerjasama dalam menjayakannya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada imam masjid, surau dan madrasah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bunut Payung di sini hari ini.

Takiyuddin berkata kerajaan negeri tidak akan menyekat sebarang bentuk pembangunan yang hendak dilaksanakan di Kelantan dan sedia meluluskan mana-mana tapak tanah yang dicadangkan.

“Sekiranya ada tapak tanah yang lebih sesuai kita juga akan cadangkan untuk tujuan pembangunan,” katanya.

– Bernama

No comments: